BALAI ADAT , PERKAMPUNGAN HANG TUAH LAMBANG KETINGGIAN ISTIADAT MELAYU MELAKA

Published
08/10/2016 by

Kali ini kami kongsikan kepada anda tentang satu lagi produk pelancongan warisan budaya yang menggabungkan identiti budaya, seni bina dan tradisi iaitu Perkampungan Hang Tuah atau Hang Tuah Centre yang didirikan di kawasan seluas 40 hektar di Kampung Duyung, Melaka . Apa yang menariknya Hang Tuah Centre ni? Kampung Duyung dipercayai merupakan kampung asal dan tempat Hang Tuah bermastautin selain menjadi sebutan dalam hikayat lama seperti Lagenda Sungai Duyong.  Perkampungan ini diwujudkan dan dibangunkan semula bagi memelihara sejarah dan memasyurkan kembali nama laksamana terbilang ini di zaman kegemilangan  Kesultanan Melayu Melaka melalui pendekatan ”Muzium Hidup” yang turut melibatkan masyarakat setempat.

Di sini, anda boleh lihat Perigi Hang Tuah yang bersejarah serta menikmati pemandangan perkampungan Melayu Tradisional yang telah wujud sejak ratusan tahun dahulu. Perkampungan ni menempatkan enam buah bangunan dengan senibina Melayu Melaka iaitu Pusat Hang Tuah yang dilengkapi informasi dan maklumat interaktif dan sejarah pahlawan tersebut, Rumah Hang Tuah, Rumah Hang Lekir, Rumah Hang Lekiu, Rumah Hang Kasturi dan Rumah Hang Jebat selain daripada rumah tradisional melayu, auditorium yang boleh menempatkan seramai 200 orang dalam satu-satu masa dan pentas kebudayaan.  

 

Di sini juga turut dilengkapi gelanggang silat terbesar di dunia yang boleh menempatkan 3000 orang peserta pada satu-satu masa. Pemandangan di sini memang sangat cantik dan selalu jadi lokasi tumpuan para pelancong dan orang ramai untuk mengambil gambar. Selain itu, terdapat juga sebuah masjid dengan senibina lama untuk anda bersolat dan teroka. Sebelum masuk ke perkarangan Hang Tuah Centre, anda pasti akan terlihat sebuah bangunan kayu yang agar besar yang dikenali sebagai Balai Adat.

 

Balai Adat yang terletak di Perkampungan Hang Tuah, berhampiran Perigi Hang Tuah di Kampung Duyong ni merupakan salah satu projek fasa pertama pembangunan pelancongan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Balai Adat ini siap pada tahun 2013 dan mempunyai dua buah dewan yang boleh digunakan untuk pelbagai penganjuran acara. Balai Adat beserta dua buah Rumah Tradisional Melayu telah diserahkan kepada Institut Seni Malaysia Melaka sebagai pengelola bangunan.  

 

Antara acara yang pernah dianjurkan di dalam Balai Adat ni adalah Majlis Berbuka Puasa TYT Yang diPertua Negeri Melaka Bersama Penduduk Perkampungan Hang Tuah, Seminar dan Jamuan Kenduri Adat sempena Program Sireh Pulang ke Ganggang, Majlis Makan Malam Kembara Cuti-Cuti Malaysia Gaya Travel, Majlis Perasmian Bengkel Latihan (Gendang Warisan & Tarian) sempena cuti persekolahan penggal pertama, Bengkel Tarian bersama Belia ASEAN, Temasya Pantun Melayu Serumpun, Pertandingan Berbalas Pantun Rumpun Melayu dan Pertandingan Dondang Sayang serta banyak lagi.

 

Sama seperti bangunan-bangunan lain di Perkampungan Hang Tuah, Balai Adat yang kaya dengan kemegahan senibina tradisional ni berbentuk seperti sebuah balairong seri istana Melaka yang mewah dan dibina menggunakan kayu serta dihiasi motif ukiran melayu berkualiti tinggi.

 

Bagi yang ingin melangsungkan perkahwinan di dalam suasana adat istiadat Melayu, Balai Adat juga boleh juga digunakan untuk acara majlis perkahwinan. Seorang artis Akademi Fantasia 9, Raqeeb juga pernah menggunakan Balai Adat ini didalam majlis pernikahan dan Majlis Malam Berinai yang penuh adat istiadat dan tradisi Negeri Melaka. Majlisnya pernah ditayangkan dalam rancangan berjudul Kerja Kahwin di Astro Prima yang telah dihoskan oleh Irma Hasmie. Selain itu, Balai Adat ni juga sesuai digunakan bagi anda yang ingin anjurkan pameran-pameran atau showcase serta memperkenalkan produk terkini.

 

Kepada anda yang berminat untuk mengadakan pelbagai majlis, terdapat banyak pakej yang ditawarkan di sini bermula serendah RM65 seorang untuk keseluruhan majlis termasuk persembahan kebudayaan termasuklah Pakej Majlis Makan Malam Beradat, Majlis Perkahwinan, Majlis Cukur Jambul, Bengkel Muzik dan Tarian serta sewaan tempat bagi menganjurkan pelbagai seminar dan bengkel yang dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan seperti tandas lelaki, wanita dan tandas OKU, dua buah dewan, kedai cenderamata, kemudahan tempat letak kenderaan selain berdekatan dengan Perigi Hang Tuah dan surau serta masjid.

 

Selain itu, terdapat juga dua buah rumah tradisional Melayu dikenali sebagai Rumah Hang Mahmud dan Rumah Dang Merdu. Nama bagi dua buah rumah ini diambil sempena nama ibu bapa Hang Tuah yang bakal beroperasi pada bulan September dengan acara pembukaan yang akan dijalankan pada 25 Ogos 2016 iaitu Bengkel Pelastarian Destar. Pelbagai pakej menarik yang akan diperkenalkan dan salah satunya adalah Sleeping Overnight in Hang Tuah Village yang mana pengunjung akan menginap di rumah berkenaan dan merasai suasana kampung asal Hang Tuah yang merupakan pahlawan lagenda Melaka pada zaman dahulu. Menarik kan?

Kedua-dua rumah ini juga boleh digunakan untuk majlis-majlis perkahwinan sekiranya ada tetamu yang ingin  meraikan perkahwinan mereka dengan konsep ala kampung dan tradisional. Di sini juga akan diadakan pelbagai bengkel yang berkaitan adat isitiadat Melayu seperti bengkel busana, bengkel sanggul lintang dan sebagainya yang bertujuan untuk menarik masyarakat melayu sekarang untuk terus memelihara dan mencintai nilai-nilai seni serta warisan budaya tradisional Melayu yang telah semakin dilupakan generasi sekarang supaya tak hilang ditelan zaman yang bersesuaian dengan falsafah Hang Tuah iaitu ’takkan Melayu hilang di dunia’.

Maka, pengekalan serta penganjuran bengkel sebegini mampu menarik penggiat-penggiat budaya dari dalam dan luar negara, malah dapat menjadikan Hang Tuah Centre serta Balai Adat sebgai tempat atau tapak pengukuhan adat budaya masyarakat Melayu disamping sebagai produk pelancongan yang berasaskan warisan budaya.

Kalau anda masih tercari-cari tempat untuk penganjuran majlis atau berminat nak menggunakan Balai Adat untuk menganjurkan acara-acara tertentu, jangan lupa untuk menghubungi Institut Seni Malaysia Melaka untuk maklumat lanjut. Jangan lupa untuk berkongsi gambar-gambar menarik anda kalau anda datang ke sini atau menghadiri acara-acara yang dianjurkan di Balai Adat ke instagram kami kerana kitakan #fabulousmelaka!

 

Untuk pertanyaan dan tempahan, sila hubungi:

Encik Muhammad Syafiq bin Zamrid

Tel : 06-2926340, 06-2860453 atau 0176744099

 

Alamat :

BALAI ADAT

Perkampungan Hang Tuah,

Kampung Duyong Melaka

D/A Institut Seni Malaysia Melaka