EKO-PELANCONGAN PAYA LEBAR-LINGGI Bhgn 1

Published
06/01/2016 by

Buat anda yang mahu lari dari hiruk pikuk dan bandar yang sibuk, eko-pelancongan mungkin sesuai  untuk anda yang inginkan ketenangan, kesunyian dan kedinginan hutan bagi menghilangkan stress dan kepenatan.  Pelancongan berasaskan alam semulajadi atau ecotourism makin dapat perhatian ramai terutamanya golongan muda. Berikutan bertambahnya permintaan para pelancong yang gemarkan aktiviti eko-pelancongan, muncul banyak lokasi  menarik yang belum banyak didedahkan dan jarang diterokai untuk dinikmati para pelancong. Jika di Bandar Melaka, kerajaan negeri boleh menarik ribuan pelancong dengan adanya Melaka River Cruise di tengah-tengah kesibukan kota, Sungai Linggi pula dilihat juga mampu menarik lebih ramai pelancong yang gemarkan suasana alam semulajadi yang masih terpelihara, jauh dari pembangunan yang menyesakkan dan menawarkan percutian yang lebih eco-friendly.

 

Pengalaman menghilir mudik ke muara Sungai Linggi di awal pagi adalah satu pengalaman dan aktiviti yang patut dicuba dan sangat menyeronokkan. Menghirup nyamannya pagi, bau rumput dan dedaun hijau yang tersapu diginnya hujan terasa begitu harum dan sangat menenangkan. Sunyi, hanya bunyi desiran angin dan air dek sampan membelah perlahan sungai yang tenang. Oh tenangnya!

 

Sewaktu menghilir, anda dapat melihat persekitaran yang begitu damai menghijau sambil disapa bayu lembut dengan pemandangan yang cukup indah sesuai bagi pencinta alam sekalipun bagi pasangan yang sedang bercinta atau yang sedang berbulan madu. Tidak salah mencipta sesuatu kelainan yang baru bagi yang ingin berbulan madu dengan menghayati keindahan-Nya dan belajar menghargai alam semulajadi untuk generasi masa depan.

 

Bermula di Jeti Balai Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang terletak di Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah, pelancong boleh memulakan perjalanan menuju ke muara Sungai Linggi yang bersempadan di antara Negeri Melaka dan Negeri Sembilan. Sejarah awal pada awal sekitar abad ke-16, menunjukkan Sungai Linggi pernah menjadi laluan utama perdagangan utama antara Melaka dan Sungai Ujung. Ia juga pernah menjadi laluan utama perdagangan bijih timah pada abad ke-18 Masihi.

 

Tarikan utama yang terdapat di sepanjang perjalanan 5km dan mengambil masa selama 2 hingga 3 jam ini adalah Pusat Penghasilan Madu Lebah Kelulut, boardwalk, Sabak Arang, Jeti Tebing Urut, Taman Lokan, Firefly Sanctuary , Kubur Buaya Tembaga 100 Tahun dan tinggalan lama kota Belanda, Kota Sempang.

 

Pemandangan dan panorama menarik seperti pokok bakau, nipah dan berembang dan haiwan pelbagai spesis sepanjang perjalanan memang begitu asyik dan mendamaikan. Tetapi jaga-jaga, kerana anda bakal dikejutkan dengan ’rakan’ yang ingin bertanya khabar dan jatuh ke dalam bot anda dengan tiba-tiba. Elemen surprise yang sangat dinantikan!

 

Hentian pertama di Pusat Penghasilan Madu Lebah Kelulut untuk melihat aktiviti penghasilan madu dengan lebih dekat lagi memberikan banyak informasi yang berguna.  Beza madu kelulut dengan madu biasa adalah warnanya yang lebih jernih dan rasanya manis bercampur sedikit masam. Madunya yang mempunyai banyak khasiat untuk memulihkan pelbagai penyakit kronik dan sangat berguna dalam bidang perubatan dan meningkatkan kesihatan. Di sini, terdapat sebanyak 200 sangkar lebah kelulut untuk tujuan penternakan dan komersial.

 

Sewaktu perjalanan cruise diteruskan, anda dapat melihat buah nipah dengan lebih dekat. Sesekali terlihat kelibat pemancing udang dan nelayan di dalam perahu yang gigih menunggu hasil tangkapan mereka. Perjalanan 15 kilometer sedikit pun tak terasa letih dan bosan. Kalau bernasib baik, anda boleh lihat dan dekati haiwan liar seperi burung-burung contohnya bangau dan puchong mencari makan di gigi air, dusky leaf monkey , juga reptilia berbisa seperti ular sawa batik!

 

Anda juga boleh memberi makan kepada monyet dan melihat gelagat monyet-monyet comel ni makan dan bergayut beramai-ramai di kawasan khas sebelum ke hentian cruise yang kedua. Beberapa utas tali telah diikat merentangi sungai untuk memudahkan monyet-monyet datang kepada pelancong untuk memudahkan mendapatkan makanan dan menunjukkan skil bergayut masing-masing yang hebat termasuklah anak-anak kecil mereka.

 

Hentian kedua merupakan Board Walk iaitu pelantar laluan pejalan kaki yang dibina di sepanjang sungai. Anda boleh bersantai dan berjalan-jalan sambil melihat-lihat keindahan alam seperti hutan pokok kayu bakau di sini. Sesekali dapat dilihat monyet nakal sedang bermain-main di atas pelantar sambil bergurau dan mencari makan.

 

Perjalanan diteruskan dengan melintasi kawasan kelip-kelip atau kunang-kunang. Di sini, aktiviti melihat kelip-kelip boleh dilakukan pada waktu malam sahaja dengan menyelusuri tebing sungai. Kelip-kelip atau dikenali sebagai kunang-kunang adalah sejenis serangga bersayap yang mengeluarkan cahaya yang berkelip-kelip pada waktu malam untuk menarik perhatian pasangan dan seterusnya mengawan. Kami akan kongsikan pengalaman menyelusuri Sungai Linggi melihat keindahan cahaya kelip-kelip ini pada isu yang lain. Nantikan ya.

 

Sekiraanya anda merancang untuk bercuti ke Melaka atau sekitar Masjid Tanah, kami syorkan anda untuk menyaksikan sendiri keindahan panorama alam semulajadi yang serba menenenangkan di sini. Jangan lupa kongsikan gambar-gambar menarik anda ke instagram kerana kitakan #fabulousmelaka! Jangan ketinggalan untuk membaca bahagian kedua artikel ini pada minggu hadapan