EKO-PELANCONGAN PAYA LEBAR-LINGGI Bhgn 2

Published
06/01/2016 by

Kawasan eko-pelancongan sekitar Paya Lebar-Linggi secara umumnya menawarkan beberapa tempat yang menarik untuk dilawati oleh pelancong domestik dan luar negara seperti yang telah diterangkan di dalam artikel pada minggu lepas. Keunikan hutan paya bakau yang masih kekal di kawasan ini merupakan suatu ekosistem yang menarik dan unik untuk diekplorasi. Menyaksikan penduduk kampung mencari hasil sungai seperti ikan dan udang galah, melihat pelbagai spesis fauna  merupakan suatu pengalaman yang sangat menarik terutamanya untuk pelancong asing.

Perjalanan bot diteruskan dengan hentian berikutnya di Kampung Sabak Arang yang dulunya merupakan kampung bekas pusat memproses ramuan Cina seperti ubat-ubatan herba. Di kampung ini juga terdapat sebuah kawasan di tepi sungai yang memproses kayu arang dengan menggunakan kayu bakau secara tradisional oleh penduduk kampung. Walaupun kayu arang mungkin tidak lagi relevan pada masa kini lantaran rata-rata kediaman menggunakan dapur gas atau elektrik untuk memasak, namun permintaan untuk kayu arang masih tinggi dan tidak hairanlah harganya yang agak mahal kini. Industri yang kini diancam kepupusan ekoran peredaran masa , namun Kampung Sabak Arang masih mengekalkan tradisi mereka membuat kayu arang yang diusahakan oleh Pak Daut kerana permintaan yang masih tinggi. Pak Daut menggunakan dua buah relau tradisional yang dipanggil gok yang berbentuk iglu ala-ala eskimo  untuk membakar kayu arang. Gok tersebut diperbuat daripada tanah liat dan usia gok tersebut telahpun menjangkau seratus tahun dan masih boleh digunakan lagi sehingga kini. Menurut Pak Daut, kerja-kerja menghasilkan kayu arang bermula daripada mengutip kayu bakau dikawasan berhampiran dan dibakar di dalam gok selama 21 hari. Gok arang tersebut sangatlah besar dan sekiranya anda sampai sewaktu tiada proses pembuatan arang, anda berpeluang untuk meninjau masuk dan melihat sendiri keadaan di dalamnya dan paling penting boleh selfie!

 

Kami tinggalkan Kampung Sabak Arang dengan suatu pengalaman yang sukar diperolehi di tempat lain dan meneruskan perjalanan untuk meninjau aktiviti bird feeding! Anda boleh memberi makan burung di pelantar yang telah dibina. Di pelantar ini, banyak spesis burung dapat dilihat dengan lebih dekat lagi seperti camar laut, bangau, helang dan lain-lain.Sekiranya bernasib baik, anda akan menemui dusky monkey leaf , spesis monyet comel bermata putih dengan anak kecil mereka yang berwarna kuning keemasan. Malangnya, kami tidak berjaya menemui spesis monyet ini walaupon setelah menunggu agak lama. Kalau anda berjaya temui mereka, jangan lupa abadikan gambar mereka dan share di @fabulousmelaka ya untuk tatapan bersama.

Terdapat pelantar dan pusat pemeliharaan ikan yang dimiliki oleh nelayan-nelayan tempatan point yang seterusnya. Anda boleh singgah di sini dan lihat cara-cara pemeliharaan ikan yang dibela di dalam sangkar untuk dipasarkan.

 

Perjalanan menyelusuri Sungai Linggi diteruskan lagi dan anda boleh melihat pertemuan atau persimpangan Sungai Linggi, Melaka yang alirannya bertemu dengan aliran Sungai Rembau, Negeri Sembilan. Di hadapan, terdapat satu port bersejarah yang digelar Tebing Urut. Di sini, anda boleh turun dan melihat kawasan tinggalan sejarah dimana dulunya merupakan tempat para pedagang-pedagang Cina berhenti dan mengurut badan sebelum meneruskan pelayaran mereka untuk berdagang. Tukang urutnya pula terdiri daripada orang-orang kampung dan orang-orang asli. Disini, anda dan rakan-rakan bolehlah bergambar dan berlakon seolah-seolah pedagang Cina sedang berurut !

 

Hentian seterusnya merupakan salah satu port lepak istimewa milik Pak Zainal iaitu Taman Lokan. Tanah persendirian miliknya ini yang dibangunkan atas usahanya dan keringatnya sendiri. Beliau menempatkan beratus-ratus lokan yang dikutip di sekitar hutan bakau Sungai Linggi untuk tarikan pelancongan terutamanya peserta river cruise. Taman ini juga boleh dijadikan tapak untuk perkhemahan atau tapak pelbagai aktiviti motivasi kerana ianya cukup luas dan selesa. Di sini, anda dapat berehat di kerusi dan meja taman buatan sendiri dengan binaan batu dan kulit lokan yang unik dan menarik. Terdapat juga kerusi urut dan bermacam-macam lagi peralatan taman menarik telah dibina sendiri oleh Pak Zainal. Selain dapat beristirehat di sini, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti santai seperti menuai lokan, berkelah, berkhemah dan membakar lokan bersama keluarga dan rakan-rakan.

 

Setelah beristirehat di Taman Lokan, perjalanan menyelusuri Sungai Linggi disambung dengan melawat kubur buaya tembaga yang berusia 100 tahun. Buaya tua tersebut telah dijumpai mati terdampar di tebing Sungai Kuala Linggi, Kota Simpang, Lubok Cina dicelah-celah kayu bakau pada tahun 2010 oleh penduduk kampung dan bangkainya telah ditanam di sini. Buaya tembaga bernama Black dengan ukur lilit hampir tiga meter dan berat tiga tan itu digelar sebagai pengawal pintu sempadan Negeri Sembilan - Melaka kerana sebelum ini kerap menonjolkan diri setiap kali nelayan turun ke sungai untuk menjaring udang galah dan ikan. Ukuran panjang badannya mencecah tujuh meter! Perjalanan dengan bot dari Taman Lokan ke kubur ini mengambil masa lebih kurang 10 minit. Sepanjang perjalanan, anda bolehlah melihat nelayan-nelayan yang sedang menangkap ikan dan burung-burung bangau yang berhenti rehat di beberapa kawasan. Suatu panorama yang sungguh cantik dan mengagumkan.

Tidak jauh dari situ juga terdapat lubuk buaya. Dianggarkan, sekurang-kurangnya terdapat 3,000 buaya hidup di Sungai Linggi. Buaya-buaya di situ tidak agresif dan belum pernah menyerang nelayan-nelayan tempatan. Anda boleh melihat panorama indah hutan dan keindahan sungai Linggi dari menara tinjau di situ. Di sini pelancong boleh melihat buaya sehingga sebesar perahu di dalam habitat semulajadinya dan sepanjang bulan November hingga Mac setiap tahun pula, pengunjung boleh menyaksikan ribuan bangau beraksi di permukaan air dan bermalam di Beting Deraka sewaktu senja.

Terletak kira-kira 10 kilometer dari Kuala Sungai Linggi iaitu di titik pertemuan Kuala Sungai Rembau dengan Sungai Linggi, terdapat bekas sebuah kota Melayu yang dibina oleh seorang ketua orang Melayu bernama Lebai Kulub. Kota tersebut dibina pada tahun 1850 dan dibina sebagai pusat memungut cukai bagi segala kapal-kapal dan perahu yang membawa barang dagangan yang dibawa dari hulu mudik ke Kuala Sungai Linggi. Kota yang terletak di persimpangan antara kuala Sungai Rembau dengan Sungai Linggi itu dikenali dalam sejarah sebagai Kota Sempang. Ini mengambil sempena letaknya di persimpangan pertemuan antara dua buah sungai.

 

Kota Sempang agak sukar dilawati dengan menggunakan jalan darat dan memerlukan seorang pemandu pelancong daripada penduduk tempatan yang mahir. Lebih baik kota ini dilawati dengan menggunakan perahu atau river cruise yang menyelusuri Sungai Linggi. Kesan-kesan  peninggalan  sejarah  seperti perigi, tembok  dan  tiang bangunan  masih  ada dan utuh  di  kawasan  Kota  Simpang   ini  dan dijadikan  untuk   bahan kajian sejarah  serta   menjadikan kawasan ini   tarikan  pelancong  dalam  dan  luar  negara pada masa akan datang.

 

Mengikut sejarah, lebih kurang lima ribu tahun yang lampau orang-orang dari Pulau Sumatera telah mula berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu. Antara tempat yang awal mereka pilih ialah di Lembangan Sungai Linggi di Pangkalan Kempas, iaitu sebuah tempat kira-kira 8 kilometer jaraknya dari Kuala Sungai Linggi. Terdapat sebuah kompleks sejarah di situ yang dikenali sebagai Kompleks Sejarah Batu Hidup.

Di situ anda dapat melihat tugu-tugu batu hidup peninggalan orang-orang Melayu dari Sumatera yang berusia kira-kira 5,000 tahun lampau! Ada tiga buah tugu batu hidup yang terkenal dengan nama-nama yang disebut Batu Pedang, Batu Sudu dan Batu Kemudi.

Sungai Linggi juga merupakan alat perhubungan yang penting di zaman kerajaan Melayu sebelum kedatangan penjajah barat. Melalui sungai inilah orang-orang Melayu dari Sumatera, terutama orang Melayu Minangkabau, datang dan membuka perkampungan di sepanjang lembah sungai tersebut.

Belanda, iaitu penjajah barat yang menguasai Melaka sejak tahun 1641 juga tertarik dengan lembangan Sungai Linggi kerana mereka mengetahui banyak hasil bijih timah yang dibawa melalui Sungai Linggi. Lalu dengan muslihat yang begitu pintar, Belanda dapat memujuk Daeng Kemboja, iaitu ketua masyarakat orang-orang bugis yang menguasai lembah Sungai Linggi, supaya berbaik-baik dengan Belanda. Dengan itu Belanda mula membina sebuah kota di Kuala Linggi.

Kota tersebut adalah merupakan pusat pertahanan dan juga tempat mengutip cukai segala macam barangan, terutama bijih timah yang dibawa keluar melalui Sungai Linggi. Kota tersebut yang dibina di atas bukit di tebing kanan mudik Sungai Linggi di tepi laut dinamakan kota Filipina iaitu mengambil sempena dengan nama anak perempuan Jacob Mussel, Gabenor Jeneral Belanda di Batavia (Jakarta 1750-1761). Di dalam kota inilah pada 1 Januari 1758 satu perjanjian persahabatan telah diadakan dengan ketua masyarakat orang bugis iaitu Daeng Kemboja dengan Belanda.

Perjalanan menyelusuri Sungai Linggi kami berakhir di RTC Kuala Sungai Linggi. Anda boleh menjamu selera di gerai-gerai berhadapan RTC yang menyajikan pelbagai menu local food seperti asam pedas, mee kari dan lain-lain lagi di sini.

Sekiraanya anda merancang untuk weekend getaway ke Melaka atau sekitar Masjid Tanah, kami syorkan anda untuk menyaksikan sendiri keindahan panorama alam semulajadi yang serba menenenangkan di sini. Terdapat Homestay Paya Lebar dan beberapa buah chalet di Kuala Linggi yang boleh ditempah untuk anda bercuti atau gathering bersama rakan-rakan dan keluarga. Jangan lupa kongsikan gambar-gambar percutian dan cruise ke Sungai Linggi ke instagram kerana kitakan #fabulousmelaka!