GLAMPING KE CAMPING? : ANTARA POTENSI , TREND DAN GAYA GLAMOR MEWAH MASA KINI

Published
08/24/2016 by

Apa yang muncul difikiran kita apabila ada rakan yang mengajak untuk melancong tetapi di kawasan alam yang terbuka atau dipinggir bandar? Bagi yang gemarkan outdoor activity atau aktiviti yang memacu adrenalin (adrenalin-type adventure) , pastinya ini tidak menjadi masalah. Tidak semua penggiat alam mahu bersusah payah dengan peralatan camping.   Kini, muncul satu lagi trend terbaru dalam sektor pelancongan, Glamping yang merupakan singkatan nama dari glamorous camping yang begitu digemari oleh golongan muda yang serba trendy dan moden. Glamping  telah mengubah persepsi dan pandangan lama kita mengenai aktiviti perkhemahan dengan suasana tipikal seperti khemah besar tanpa alas, unggun api dan kelengkapan yang serba sederhana  dan tidak mendesak kepada infrastruktur moden, layanan penginapan dan lain-lain perkhidmatan setaraf hotel berbintang. Glamping hadir dengan suasana perkhemahan biasa dan konvensional namun menawarkan kemudahan dan layanan mewah seperti menginap di hotel.

 

MEWAH YANG BAGAIMANA?

Penyedia destinasi Glamping  secara asasnya menyediakan alatan asas berkhemah seperti alas dan beg tidur, lampu, pemanggang, lilin, pinggan , kerusi, meja dan sebagainya dalam gaya glamor, unik dan hipster. Jika menggunakan tin atau botol kaca terpakai sekalipun, ianya akan dihias cantik dan glamor. Semuanya dalam keadaan style  dan kreatif.

Pakaian pula bukan yang tipikil. Di sini, mereka boleh berfesyen dan bergaya seperti mengadakan party di tasik, air terjun, pantai dan sebagainya sambil makan kek dan BBQ.

Glamping kini semakin popular di negara-negara Asia seperti Korea, Jepun, China, Indonesia dan Malaysia yang membolehkan anda beriadah sambil menikmati suasana fun berkhemah namun dalam keadaan yang sangat selesa dan mewah tidak ubah seperti menginap di hotel 5 bintang! Tidak seperti berkhemah cara dulu-dulu yang ada banyak kesukaran seperti kesukaran untuk mendapatkan bekalan makan minum, kemudahan tempat mandi dan tandas yang bersih dan selesa serta tiada sebarang tawaran aktiviti hiburan yang menarik untuk mengisi masa lapang dan sebagainya.

Glamping mula diperkenalkan di negara-negara Eropah yang mempunyai daya beli (buying or purchasing power) terhadap segmentasi pelancongan nature based. Andai bercerita mengenai spot glamping yang terkenal di serata dunia, pastinya lokasi-lokasi ini menjadi tumpuan seperti Whitepod, Switzerland, Paws Up, Montana dan Greystoke Mahale yang terletak di Tanzania. Pelancong-pelancong Eropah juga  amat gemar melancong ke Afrika kerana alam sekitar dan pemandangan Safarinya yang sangat cantik dan menakjubkan untuk dinikmati tak kira siang atau malam. Ramai pelancong yang melancong ke Afrika ketika itu sudah terbiasa dengan kehidupan mewah dan kaya. Mereka membawa bermacam-macam kelengkapan bagi memastikan keselesaan ketika bercuti di Afrika seperti permaidani, sofa angin, sauna portable, peralatan elektronik, hammock, spring bed dan ada juga yang membawa oven serta tukang masak untuk menyediakan makanan!

Maka, kegiatan golongan kaya yang gemar berkhemah secara mewah sebegini dah membuka peluang perniagaan pelbagai pihak terutamanya para pemaju dan pengusaha tapak Glamping bukan saja di benua Afrika, malah juga di serata dunia termasuklah Negara-negara Asia! Seiring dengan lonjakan kelas menengah secara global,  terutama di kota-kota besar, maka glamping sudah mula memasuki arus utama pelancongan alternatif bagi pelancongan urban , baik individu ataupun secara berkumpulan yang tumbuh dengan cepat seiring dengan niche market nya.

 

Trend ini mula diteroka oleh remaja yang mahukan sesuatu yang rare dan cantik di gambar dan membuatkan rakan-rakan mereka kagum apabila di upload ke Instagram. Something to brag about. Meskipun ia adalah perkhemahan, berglamping adalah seperti anda sedang menginap di resort mewah.

 

Glamping telah memberi perluasan pasaran pelancongan yang baru apabila ia bukan sahaja melibatkan golongan kelas menengah tetapi juga melibatkan pelancong keluarga (family tourist) yang menikmati perkhemahan dengan layanan dan perkhidmatan yang lengkap (a whole package and integrated services).  Sejak itu, semakin banyak tempat dan tapak penginapan yang menawarkan aktiviti berkhemah secara mewah berkonsep Glamping berkembang maju termasuklah di Malaysia sendiri antaranya:

 

  1. Canopy Tribes, Kota Tinggi, Johor
  2. Caravan Serai, Bentong, Pahang
  3. Sailor’s Rest Resort, Janda Baik, Pahang
  4. Japamala Resorts, Pulau Tioman, Pahang
  5. Tanah Aina Fahad, Ulu Dong, Raub, Pahang
  6. Cengal Resort, Janda Baik, Pahang
  7. Time Capsule Retreat, Raub, Pahang
  8. Walai Penyu Resort, Sabah
  9. Tadom Hill Resorts, Selangor
  10. Sekeping Serendah, Selangor

 

 

Pelancong yang memilih untuk berkhemah dengan konsep ini tidak perlu lagi membawa peralatan perkhemahan. Destinasi glamping telah menyediakan fasiliti bersesuaian dengan kehendak pelancong. Anda boleh memilih untuk menikmati dua jenis penginapan berkonsep Glamping iaitu samada menginap di bawah teduhan pondok mewah ala resort yang dilengkapi hammock selesa atau tilam serta kelambu ataupun memilih untuk tinggal di dalam khemah loceng besar atau bell tent dengan pelbagai kelangkapan seperti lampu, kipas, kemudahan tandas dan toiletries dan lain-lain yang serba mewah.

 

Penginapan Glamping tidak lengkap tanpa tawaran aktiviti outdoor yang fun dan menarik seperti BBQ dinner, night trekking dan jungle trekking, berkayak, scuba diving, cruise melihat kunang-kunang, team building, treasure hunting, menunggang ATV atau All-Terrain Vehicle, mendaki bukit dan gunung, bird watching atau melihat burung, melawat kebun, ladang teh dan buah-buahan, melawat ladang burung unta atau ladang ternakan buaya, memancing, menangkap ketam, snorkeling, melawat taman marin, menyelam di pantai, berpiknik, bermain volleyball, camp fires, bermain pelbagai jenis fun games untuk dewasa dan kanak-kanak, melawat perkampungan orang asli, berendam dan mandi sungai, cycling dan berkaraoke dengan pemandangan dan suasana alam semulajadi yang begitu mendamaikan!

 

Kebanyakan kem Glamping ni terletak berdekatan dengan tarikan ekopelancongan semulajadi seperti air terjun, sungai, jeram, tasik, pulau, kebun dan ladang, kawasan pergunungan, lembah serta bukit-bukau dengan berlatarbelakangkan hutan simpan yang menempatkan habitat pelbagai jenis flora dan fauna yang begitu menakjubkan untuk diteroka bersama keluarga dan rakan-rakan! Ada juga kem Glamping yang terletak berdekatan dengan resort yang membolehkan anda menghabiskan masa beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan untuk menghilangkan tekanan bertemankan suasana nyaman terbuka atau outdoor dengan khemah berkualiti yang dilengkapi tilam dan kelengkapan tidur yang sangat selesa serta pelbagai kemudahan resort seperti kolam renang dan lain-lain lagi.

 

Glamping memecah stigma perkhemahan sebagai bentuk eko-pelancongan atau pelancongan alam yang relatif murah dan adrenalin-type adventure di mana umumnya dilakukan di tengah hutan, gunung, kawasan terpencil atau jauh dari segala akses perhubungan awam yang menuntut kekuatan fisikal dan mental selain kepayahan untuk menginap. Selain meluaskan potensi pasaran, glamping ternyata juga membuka berbagai peluang mahupun inovasi baru yang berkaitan dengan kesedaran alam sekaligus membuka peluang penjanaan ekonomi dari segala peringkat pendapatan, serapan tenaga kerja, dan kemajuan sesuatu kawasan secara lestari. Bagi mereka yang melihat potensi glamping sebagai peluang perniagaan, amat penting sekali untuk melihat faktor alam sebagai priority dari mula perancangan. Pengusaha harus mempertimbangkan bagaimana dan impak pembangunan kawasan tersebut terhadap lingkungan kawasan, ekonomi, sosial-budaya dan tentu sahaja dari aspek politik bagi memastikan tourism ethics dan voluntary terhadap kegiatan-kegiatan konservasi hutan ditekankan kepada para pelancong. Glamping sebaiknya perlu memberi perhatian kepada aspek jangka panjang dan promosi pemeliharaan dan pembelajaran kepada pelancong untuk melibatkan diri secara aktif terhadap isu alam sekitar.

Berikutan trend dan aktiviti Glamping yang semakin berkembang pesat serta pelbagai jenis produk ekopelancongan yang terdapat di negara kita dan di Negeri Melaka khususnya, diharapkan para pengusaha dan para penggiat sektor pelancongan dapat mengambil peluang yang ada untuk memenuhi kehendak dan keperluan para pelancong muda yang serba moden dan mewah. Penginapan berkonsepkan Glamping boleh dibangunkan bagi menyokong dan memantapkan aktiviti ekopelancongan serta boleh menarik lebih ramai pelancong datang pada masa hadapan.

 

Selain dapat memajukan lokasi eko-pelancongan yang berpotensi untuk pelancongan berkonsepkan Glamping seperti di Pantai Padang Kemunting sebagai pusat Eko-pelancongan Penyu Melaka, Taman Ekstrem Tasik Chinchin sebagai pusat Eko-pelancongan dan sukan ekstrem, Rezab Hidupan Liar Tanjung Tuan sebagai pusat dan sanktuari perlindungan burung migrasi, Pusat Eko-pelancongan Paya Lebar, Kuala Linggi dan hutan-hutan simpan negeri seperti Hutan Rekreasi Sungai Udang, Hutan Rekreasi Ayer Keroh, Hutan Rekreasi Bukit Batu Lebah dan banyak lagi pastinya akan merancakkan lagi sektor pelancongan di Melaka. Bila anda berglamping di Melaka, jangan lupa untuk kongsikan gambar-gambar menarik hipster anda ke instagram kami kerana kitakan #fabulousmelaka!