HILANGKAN PENAT & TENANGKAN STRESS ANDA DI 3 LOKASI KOLAM AIR PANAS DI MELAKA

Published
05/10/2016 by

Stress adalah penyakit emosi yang tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan individu. Masalah di tempat kerja, kesesakan lalulintas, masalah kewangan , keluarga , masalah peribadi dan lain-lain menyebabkan tekanan yang melampau yang boleh menyebabkan ancaman kepada individu itu sendiri. Perubahan luaran dan dalaman yang melebihi daripada keupayaan individu tersebut mengendalikannya boleh menjejaskan aktiviti dan kehidupan harian. Setiap individu tidak dapat lari daripada masalah dan tekanan namun terpulang kepada keupayaan individu tersebut mengawal dan mengedalikan tekanan tersebut dengan cara yang terbaik . Stress melibatkan perasaan subjektif di mana diperingkat awal boleh diterima dengan baik namun lama kelamaan akan menjadi pencetus kepada pelbagai penyakit jiwa termasuk kemurungan (depression).

 

Pengurusan tekanan kerja menjadi salah satu bidang keutamaan bagi majikan-majikan sama ada di sektor awam mahupun di sektor kerajaan sejak lebih daripada 20 tahun yang lalu. Tekanan berkaitan kerja adalah cabaran terbesar terhadap aspek kesihatan kepada pekerja dan aspek kesejahteraan bekerja di dalam sesebuah organisasi yang boleh menyebabkan penurunan prestasi kerja. Terdapat sebanyak 5 faktor tekanan kerja iaitu intrinsik kepada pekerjaan, peranan individu di dalam sesuatu organisasi, pembangunan kerjaya, perhubungan di tempat kerja, struktur dan iklim organisasi selain faktor individu, organisasi dan persekitaran yang berpotensi mewujudkan tekanan.. Faktor intrinsik kerja ialah keadaan kerja, risiko dan budaya kerja, masa bekerja yang lama, perjalanan, beban kerja yang berlebihan dan penggunaan teknologi baru. Persekitaran fizikal seperti kualiti udara, cahaya, hiasan, kebersihan, kebisingan, perabot dan ruang bekerja juga boleh memberi kesan ke atas minda seseorang. Kesan negatif ini boleh menjejaskan prestasi dan produktiviti pekerja dan organisasi secara keseluruhan

 

Apabila seseorang mengalami stress ataupun tekanan, badan akan mengaktifkan fungsi fisiologi tubuh bagi menanganinya. Akibatnya, beberapa jenis hormon seperti adrenaline, noradrenaline dan cortisol dibebaskan kedalam salur darah. Hormon-hormon ini selain daripada menyediakan diri untuk mengatasi stress, ia juga mengubah sistem asal badan dan menyebabkan berlakunya simptom-simptom fizikal. Antara simptom-simptom fizikal yang berkait dengan stress termasuklah sakit-sakit sendi dan tulang, pening kepala, sesak nafas, dada terasa ketat, gangguan tidur, perubahan pada mood, mudah lupa, gastrik dan juga pertambahan berat badan. Andai tidak ditangani dengan betul, ia boleh membawa kepada masalah seperti serangan sakit jantung, kanser, tekanan perasaan dan bunuh diri, penyakit hati, kemalangan jalan raya dan juga yang berkait dengan sistem pernafasan, masalah perubatan seperti kencing manis, masalah kelenjar tiroid, kanser ataupun gangguan psikologi (anxiety, depression)

 

Jadi untuk hilangkan kepenatan bekerja yang akhirnya akan menyebabkan stress, apa kata kita cuba salah satu cara untuk menghilangkan tekanan dengan meluangkan masa di hujung minggu bersama keluarga dan rakan-rakan di kolam air panas yang terdapat di Melaka . Dapat juga ia melenturkan urat-urat yang tegang di badan.

 

Kolam air panas merupakan sumber air panas bawah tanah yang mempunyai unsur-unsur galian mineral yang terdapat di dalam air panas semulajadi iaitu boron, sulfur, kalsium, fluorida, besi, magnesium, fosforus dan silika yang dijadikan sebagai rawatan alternatif untuk pelbagai penyakit apabila dilakukan secara teratur dan berterusan terutamanya penyakit kulit , sakit sendi dan pinggang, sistem saraf dalam badan,  kebas-kebas, lumpuh , strok, membuang toksin badan dan banyak lagi. Sumber air panas ini mempunyai suhu purata 40 hingga 55 darjah celcius.

 

Jangan terkejut andai anda ternampak ada beberapa kolam yang disediakan airnya berubah kepada warna kehijau-hijauan. Kolam ini bukannya kotor atau tidak diselenggara , tetapi perubahan warna ini disebabkan kandungan belerang semulajadi atau sulfur yang terdapat di dalam air panas tersebut. Algae atau lumut tersebut tidak berbau dan sekiranya disapukan ke anggota badan seperti tangan, kaki dan muka, kesannya boleh dirasai dalam masa tidak sampai 5 minit di mana kulit akan menjadi lembut secara semulajadi seolah-olah seperti berpelembab! Hebat kan. Wanita-wanita di luar sana tidak perlu lagi membazirkan wang ringgit untuk membeli pelbagai jenis krim kecantikan, hanya sapukan algae dari kolam air panas, dan hasilnya anda pasti teruja!

 

Kelebihan Mandi Air Panas Semulajadi

  • Memberi ketenangan kepada tubuh badan
  • Membantu mengurangkan stress
  • Membuka pori-pori diwajah dan liang roma
  • Menyingkirkan toksin
  • Melancarkan peredaran darah
  • Melegakan ketegangan otot kesan daripada aktiviti harian
  • Meransang kadar metabolisma dalam badan
  • Menyembuhkan penyakit kulit

 

Apa kata kita cuba berehat sambil menghilangkan kepenatan dan stress di salah sebuah daripada 3 lokasi kolam air panas yang terdapat di Melaka. #Melakadekatjer !


TAMAN REKREASI AIR PANAS & INFLATABLE WATERPARK JASIN

 Taman Rekreasi Air Panas & Inflatable Waterpark Jasin atau lebih dikenali sebagai Jasin Hotsprings terletak di Kg. Ayer Panas, Bemban, Jasin kira-kira 20km dari Bandar Melaka. Mula dibuka pada tahun 1884, pusat rekreasi ini mengetengahkan konsep Jepun Onsen di mana kolam-kolam tersebut dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Zon Kuning, Oren dan Merah mengikut suhu kepanasan air di antara 34  hingga 49 darjah celcius. Kolam-kolamnya pula dinamakan Ashi-yu (foot bath), 1884 Ofuro (bath house), Kaburi-yu , Utase & Kolam Renang Mineral (kolam terbuka). Sila jangan jangkakan genuine Japanese-styled Onsen experience, cuma kolam-kolamnya sahaja yang dinamakan sempena nama Jepun!

 

Mari kita lihat keistimewaan yang terdapat di Jasin Hotsprings yang tiba-tiba menjadi sebutan ramai dan viral di media sosial.

 

Feature                      : Kolam Air Panas & Inflatable waterpark

Aktiviti                       : Hot Bath, Berkelah dan BBQ

Kemudahan lain     :

   1) Bilik Solat

  2) Tempat Letak Kereta

  3) Tandas

  4) Bilik Persalinan

  5) Kolam Keluarga Terbuka (air terjun buatan, water slide,sprinkler water)

  6) Inflatable Waterpark (paddleboat, waterboat dll)

  7) Ruang terbuka untuk berkelah

  8) Ruang BBQ untuk disewa


Alamat :

Kampung Ayer Panas

Mukim Bemban,

77200 Jasin,

Melaka

 

Bayaran Masuk       : Dewasa RM6.50 , Kanak-Kanak RM3.50

Waktu Operasi        : Isnin : 3 petang – 12 malam

                             Selasa- Khamis & Ahad : 9pagi – 12malam

                             Jumaat & Sabtu : 9 pagi – 2 pagi

Website                     : www.jasinhotsprings.com

FB                               : airpanasjasin

Telefon                      : 06- 5210 369

 

KOLAM AIR PANAS GADEK / GADEK HOT SPRING

Kolam Air Panas Gadek terletak di daerah Alor Gajah kira-kira 30km dari Bandar Melaka. Antara kemudahan lain yang disediakan disini adalah Spa untuk tujuan mandi wap sauna dan Steam bagi proses detoksifikasi untuk mengeluarkan peluh kotor yang mengandungi toksi dan garam dari dalam badan. Bagi yang ingin mengurangkan berat badan, mandi wap sauna dapat membantu pembakaran lemak dari luar dan sekaligus menjadikan kulit anda lebih halus dan licin dengan hanya bayaran serendah RM15 sahaja. Tetapi dapatkan nasihat doktor mengenai tahap kesihatan anda dahulu ya sebelum mencuba rawatan mandi wap sauna ini! 

 

Alamat :

Pusat Pelancongan Air Panas Gadek,

Lot 1221, Mukim Gadek,

78000 Alor Gajah,

Melaka

 

Bayaran Masuk       : Dewasa RM5, Kanak-Kanak (6-12Tahun) RM3

Waktu Operasi        : 24 Jam, Dibuka Setiap Hari

 

Website                     : airpanasgadek.blogspot.com

FB                               : Air Panas Gadek

Email                          : airpanasgadek01@gmail.com

 

Telefon                      :           06-5549584 (Kaunter 24 Jam)

                                                06-5548542 (Pejabat)

                                                06-5548543 (Faks)

 

KOLAM AIR PANAS CHERANA PUTIH

Lebih dikenali sebagai Cherana Putih Hot Springs, kawasan ini terletak di Taboh Naning, Alor Gajah, Melaka sekitar 5 minit dari Tol Simpang Ampat. Walaupun kawasan ini dahulunya popular dikalangan penduduk setempat dan daerah-daerah sekitarnya, ia telah mula mendapat perhatian dan liputan para media kerana persekitaran alam semulajadinya. Kawasan ini telah mula dibanjiri dengan kehadiran pelancong yang telah mula mengenali dan menyedari lokasi ini tertutamanya di hujung minggu dan cuti umum. Antara kelebihan yang terdapat di sini adalah mandi lumpur yang dipercayai boleh mengubati pelbagai penyakit kulit. Lain-lain kemudahan yang turut disediakan di sini ialah trek pejalan kaki, wakaf istirahat , tandas, surau dan café.

 

Alamat :

Kampung Cherana Putih

Taboh Naning

Alor Gajah

Melaka

 

Bayaran Masuk       : Isnin – Jumaat : Dewasa RM5, Kanak-Kanak RM2.50

                                       Sabtu, Ahad/ Cuti Umum: Dewasa RM6 , Kanak-kanak RM3

                             Warga Emas  RM4

Waktu Operasi        : 24 jam

 

FB                               : Kolam Air Panas Cherana Putih

Telefon                        : 06- 552 0513 (En Mohd Asri )

 

 

Kolam air panas kini telah mula mendapat perhatian dan mendapat sambutan para pelancong yang melawat Negeri Melaka. Tempat ini sentiasa dipenuhi pengunjung dihujung minggu dan cuti umum yang datang dari pelbagai pelosok negeri yang ingin bersantai dan mandi-manda bersama keluarga. Jangan lupa kongsikan momen indah anda bersama rakan dan keluarga ketika di kolam air panas Melaka di #mymelakamoment yer. Kitakan #fabulousmelaka !