HOTEL HIJAU KINI JADI BURUAN PELANCONG

Published
06/01/2016 by

Di serata dunia, amalan hijau atau green practices dalam industri perhotelan yang menjadi tunjang kepada perkembangan sektor pelancongan global telah pun digunapakai dan diamalkan secara meluas. Green adoption di dalam sektor perhotelan di Malaysia hanya mendapat perhatian sebilangan kecil sahaja yang menyentuh tentang polisi dan isu-isu berkenaan  dan kurang mendapat perhatian serius para penggiat perhotelan khususnya di Melaka. Di serata dunia kini terdapat begitu banyak demand daripada para pelanggan yang semakin mementingkan soal penjagaan alam sekitar walaupun mereka sedang bercuti dan berliburan di luar negara. Mereka ini digelar sebagai green tourist atau ‘pelancong hijau’ dalam istilah pelancongan. Bukanlah bermaksud alien, toyol, Hulk atau makhluk yang berwana hijau, tetapi istilah yang digunakan untuk menggambarkan karakter pelancong yang mempunyai sifat dan sikap yang baik terutamanya terhadap alam sekitar dan komuniti setempat. Mereka sentiasa menghormati tempat-tempat yang dilawati dengan tidak membuat sebarang pencemaran alam, membuang dan membakar sampah merata-rata, merosakkan atau membuat vandalisme sesuka hati, sentiasa menjaga perhubungan baik dengan masyarakat atau komuniti setempat dengan tidak akan membuat sebarang kekecohan dan kekacauan. Malah, mereka juga sentiasa berdisplin sewaktu bercuti!

 

Negeri Melaka seharusnya pantas mencari ruang dan menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk memeriahkan lagi sektor pelancongan dengan memastikan lebih banyak hotel-hotel yang sedia ada mahupun yang bakal dibuka dapat memberikan komitmen sepenuhnya dalam mengamalkan green practices supaya boleh menjadi contoh ikutan dan pelopor sektor pelancongan bertanggungjawab atau responsible tourism di Malaysia. Ini sekaligus bergerak seiring dengan kehendak dan matlamat Kerajaan Negeri Melaka bagi menjadikan negeri ini sebagai sebuah Negeri Bandar Teknologi Hijau sambil giat mempraktikkan inisiatif go green dalam semua sektor termasuklah sektor pelancongan yang menjana sumber pendapatan negeri ini.

Anugerah Hotel Hijau ASEAN merupakan pengikitirafan yang diberikan kepada hotel-hotel yang keluar dari amalan konvensional dan melaksanakan langkah hijau dan mesra alam sekitar yang menepati konsep hijau di negara-negara ASEAN berdasarkan Piawaian Hotel Hijau ASEAN yang memenuhi 6 Piawaian Pelancongan ASEAN. Anugerah yang hanya diadakan 2 tahun sekali dan setiap pemenang mengekalkan gelaran tersebut selama 3 tahun hanya diberikan kepada hotel yang mesra alam iaitu yang menggunakan teknologi penjimatan tenaga berdasarkan 11 kriteria dan 25 keperluan di dalam piawaian tersebut. Kriteria yang ditetapkan adalah tentang dasar dan tindakan alam sekitar dalam operasi hotel, penggunaan produk mesra alam, kerjasama dengan komuniti dan pertubuhan setempat serta pembangunan insan. Sebanyak 10 hotel di Malaysia telah memenangi Anugerah Hotel Hijau ASEAN sempena Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2014 iaitu Shangri-La's Tanjung Aru Resort and Spa Kota Kinabalu, Shangri-La's Rasa Ria Resort Tuaran dan Nexus Resort Karambunai Kota-Kinabalu dari Sabah; Riverside Majestic Hotel Kuching dan Miri Marriot Resort and Spa (Sarawak); Mandarin Oriental Hotel, The Shangri-La Hotel dan Rennaissance Kuala Lumpur (Kuala Lumpur); The Andaman Langkawi (Kedah) dan The Shangri-La's rasa Sayang Resort and Spa (Pulau Pinang). Anugerah Hotel Hijau juga merupakan inisiatif penting untuk menyokong usaha ASEAN membangunkan Pelan Strategi Ekopelancongan ASEAN yang menggalakkan pelancongan bertanggungjawab (responsible tourism) dan amalan hijau dalam industri pelancongan

 

Berikut merupakan antara langkah-langkah yang boleh disyorkan untuk diamalkan oleh para penggiat hotel supaya dapat menepati prinsip eco-friendly yang menepati amalan hijau dalam industri perhotelan:

 

Penjimatan Tenaga dan Pengurangan Karbon

Hotel boleh menggunakan sumber tenaga dan lampu yang cekap dan jimat tenaga, menggunakan bumbung lut cahaya yang boleh menerangi koridor bilik, kaki lima dan kawasan awam seterusnya dapat menjimatkan bil elektrik dan mengurangkan pengeluaran karbon dioksida. Bagi menggalakkan penggunaan kenderaan hybrid, pihak hotel perlu menyediakan stesen dan ruang untuk mengecas kereta elektrik di pintu masuk utama. Selain itu, lobi hotel boleh dihiasi dengan bahan-bahan dekorasi yang diperbuat daripada fabrik dan seramik yang mesra alam. Perkhidmatan sewaan basikal di sekitar hotel juga boleh diperkenalkan bagi mengurangkan penggunaan kenderaan dan dapat mengurangkan pengeluaran karbon dioksida.

 

Penjimatan dan Rawatan Air

Pemulihan dan rawatan air yang telah digunakan dari paip untuk kegunaan-kegunaan lain seperti penyiraman pokok, mencuci lantai dan air takungan kolam perhiasan boleh menjimatkan sumber air dan wang ringgit. Antara langkah lain adalah melalui pemasangan pili atau paip air yang menjimatkan penggunaan air serta merawat air kumbahan dan buangan untuk digunakan sebagai toilet flush.

Rekaan Dalaman

Kemudahan dan perkakasan bilik mandi seperti sabun, bathfoam dan syampu yang diperbuat daripada minyak ekstrak tanpa bahan kimia merbahaya dengan bungkusannya juga haruslah diperbuat daripada bahan yang boleh dikitar semula seperti HDPE pipe stem (high density polythene), polypropylene caps, beg dan polyethylene film yang 100% adalah mudah didegradasikan. Lantai bilik, koridor dan bilik air daripada bahan semulajadi yang disahkan ‘Live Green’ serta karpet, kertas dinding,  fabrik, tilam dan peralatan lain di lobi, bilik dan koridor perlulah diperbuat daripada bahan-bahan eco-friendly.

Bahan Buangan

Program kitar semula ditetapkan untuk bahan-bahan seperti bateri, tiub lampu florescent, mentol dan lain-lain. Kerjasama dengan pihak luar yang menyediakan perkhidmatan cucian eco-friendly laundry dengan menggunakan 100% produk mencuci yang mudah didegradasi dan tidak mencemarkan alam sekitar juga dapat membantu. Green hotel juga boleh mendidik pelanggan melalui peringatan berupa eco tips yang diberikan kepada setiap pelanggan semasa check-in. Pihak pengurusan juga haruslah melatih kakitangan untuk mematuhi polisi hijau yang telah ditetapkan supaya boleh menjadi satu budaya kerja yang bertanggungjawab.

Green Building Practices

Green Building atau disebut Bangunan Hijau merupakan bangunan yang bercirikan teknologi binaan mesra alam semulajadi. Selain menjimatkan pelbagai jenis tenaga termasuk tenaga elektrik, air, angin serta kos, ianya juga turut memberi keselesaan dan persekitaran yang sihat kepada penghuninya. Ciri-ciri bangunan hijau yang direkabentuk kebiasaannya menggunakan tumbuh-tumbuhan yang ditanam dalam dan luar bangunan, penggunaan penebat pada bangunan untuk mengurangkan penyerapan haba pada dinding dan bumbung, aplikasi kuasa solar sebagai sumber elektrik, bukaan berlubang atau ruang udara pada bangunan, penggunaan warna cat cerah dan lain-lain lagi.

Berikut merupakan antara hotel di beberapa negara yang mempraktikkan amalan hijau dan inisiatif-inisiatif yang telah digunapakai di seantero dunia dan mungkin boleh diaplikasikan khususnya di Melaka.

AMERIKA SYARIKAT

Seorang artis seni bermana Josh Hadar telah mencipta dan memasang karya seni eco-friendly di Starhotel, New York yang dipanggil sebagai ‘Constellation Bonsai’. Karya seni tersebut merupakan bonsai tiruan yang diperbuat secara handmade dan boleh menukarkan radiasi solar kepada tenaga elektrik yang membolehkan 110 lampu LED yang terdapat pada ranting-rantingnya untuk menyala pada waktu malam.

 

Willard Intercontinental yang terletak di Washington D.C. kini telah menggunakan 100% kuasa angin atau wind power yang telah berjaya mengurangkan sebanyak 12% penggunaan tenaga sejak 5 tahun lepas. Hotel tersebut juga menawarkan perkhidmatan sewaan kereta hybrid kepada para pelanggan. Selain itu, hotel tersebut telah memperkenalkan penggunaan water-free urinals atau tandas bebas air yang telah menjimatkan lebih 95,000 gelen air pada tahun 2005.

Resort mesra alam pertama di Amerika Syarikat, the Maho Bay Camp yang terletak di St. John, Virgin Island telah beroperasi sejak tahun 1976. Resort ini mengaplikasikan penggunaan tandas yang menjimatkan air, bidet tandas dan shower yang efisyen serta cekap, pengumpulan air hujan dan bekalan air panas yang menggunakan haba solar untuk mengurangkan kesan negatif oleh para pengunjung dan pelancong yang datang ke pulau tersebut sambil dapat menjimatkan sumber bekalan semulajadi seperti air bersih. Resort ini juga telah membuka galeri seni Trash to Treasures Art Center yang mempromosi dan mempamerkan bahan buangan daripada operasi resort yang telah diproses dan djiadikan barangan kraftangan untuk dijual.

 

KANADA

Hotel Fairmont Royal York di Toronto Berjaya menjimatkan air sebanyak 476,000 liter sehari dengan menggunakan water softener yang mengurangkan penggunaan air pada cucian laundry. Sebelum ini, mesin ais dan sistem penyejuk digunakan di Hotel Fairmont Palliser di Calgary, Alberta untuk  melepas dan membuang air yang digunakan untuk menyejukkan compressor telah dialirkan semula tanpa dibuang dan berjaya menjimatkan penggunaan air sebanyak 30%.

 

 

ITALI

Hotel Orto Green, restorannya telah mengikut trend ‘zero-mile’ dengan menawarkan hidangan menu bermusim dengan bahan-bahan dan ramuannya adalah daripada hasil tanaman mereka sendiri. Selain itu, terdapat lampu-lampu dinding yang akan menyala dan terpadam secara automatik mengikut kadar cahaya dan kegelapan yang boleh menjimatkan dan bersepadu dengan alam

 

JEPUN

Hotel Otani di Jepun telah memasang sistem penyaman udara dan system dapur cekap tenaga yang telah berjaya mencapai 14% penjimatan tenaga dan pengurangan sebanyak 30% pengeluaran karbon dioksida. Hotel ini juga membina mesin untuk mengitar semula air yang membolehkan 1,000 tan air yang telah dikitar semula dari dapur hotel untuk digunakan sebagai pengairan tanaman di taman dan toilet flush tandas kakitangan.

 

INDIA

Orchid Hotel di Mumbai, India adalah contoh utama green hotel yang menarik ramai pelanggan dan para pelancong kelas atasan dengan menggabungkan penggunaan sistem berteknologi tinggi serta kemewahan di dalam persekitaran mesra alam. Hotel tersebut telah dibina menggunakan panel dinding yang boleh diguna semula yang diperbuat daripada bahan buangan baja dan simen mesra alam dipanggil Portland Pozzolana Cement dan autoclaved aerated concrete untuk menjadi penebat haba. Binaan bangunan Orchid Hotel ini juga sangat bijak dengan senibina yang membenarkan cahaya semulajadi menembusi ke dalam bangunan dan swimming pool yang dibina di atas bangunan hotel adalah bertujuan untuk melindungi keseluruhan bangunan daripada kesan haba yang tinggi.

 

Selain itu, hotel tersebut juga telah memperkenalkan penggunaan sistem lampu fluorescent kompak untuk menjimatkan tenaga dan mengurangkan pencemaran udara, kunci wireless card reader untuk menutup lampu dan pencahayaan yang tidak diperlukan. Orchid Hotel juga telah mengubah tangki penyaman udara untuk menyimpan tenaga ketika waktu tidak sesak atau off-peak hours bagi mengurangkan penggunaan tenaga yang tidak diperlukan. Hotel yang terletak di tengah-tengah Bandar Mumbai ini merupakan contoh hotel terbaik yang mengamalkan amalan go green dengan kaedah 3R iaitu the ‘reduce, reuse, recycle’ dengan jayanya.

 

INDONESIA

Damai Lovina Villas, Bali telah dengan cekapnya mengurangkan kos melalui pengurangan bahan buangan dan penggunaan tenaga di mana pihak pengurusannya telah bekerjasama dengan pengusaha ladang pertanian setempat untuk membeli dan memastikan bahan-bahan belian berupa hasil tanaman adalah 100% selamat tanpa bahan kimia dan mesra alam untuk digunakan sebagai bahan masakan di restoran mereka. Mereka juga mengusahakan taman organik dan ladang sendiri dimana 80% sumber bahan-bahan adalah merupakan hasil tanaman sendiri yang dapat mengurangkan kos pembelian dan menjana lebih pendapatan.

 

Jadi, antara kebaikan amalan hijau adalah dapat membantu menjimatkan wang dan membentuk kecekapan dalam menjalankan operasi hotel, menerapkan tanggungjawab sosial korporat untuk menjimatkan kos dan membina ekonomi, sosial dan dalam pada masa yang sama juga perlulah memastikan alam sekitar sentiasa selamat dan mapan untuk kehidupan bersama. Amalan hijau juga membolehkan peluang baru dibuka untuk kerjasama, pembangunan produk-produk pelancongan mapan dan aktiviti-aktiviti yang tidak mencemarkan alam sekitar serta menambah nilai kepada produk dan perkhidmatan yang disediakan kepada para pelancong dan pelanggan. Amalan hijau juga boleh menjadi platform penerapan elemen pendidikan kepada pihak yang terlibat samada di kalangan kakitangan dan para pelanggan.

 

Sekiranya anda merupakan pengusaha atau bakal mengusahakan hotel, resort mahupun restoran di Melaka, segeralah memahami dan mengamalkan green practices supaya mendapat memastikan operasi perniagaan anda cekap, menjimatkan kos dan tidak menjejaskan alam sekitar serta memenuhi tanggunjawab sosial korporat kepada komuniti setempat. Jangan lupa kongsikan gambar-gambar green practices yang anda telah amalkan termasuklah kaedah 3R, iaitu ‘reduce, reuse, recycle’ dan apa-apa sahaja yang menarik ke instagram. Melaka Go Green! Kitakan #fabulousmelaka!