KAMPUNG MORTEN CULTURAL AND HERITAGE GUIDED WALK : TARIKAN TERKINI NEGERI MELAKA

Published
09/28/2016 by

Kampung Morten merupakan satu-satunya  perkampungan Melayu tradisional yang terletak ditengah-tengah Bandar Melaka dan menjadi tarikan pelancongan. Ianya dikenali sebagai living museum atau muzium hidup yang mempamerkan warisan dan kebudayaan orang-orang Melayu di Melaka. Dengan usianya yang sudah menjangkau lebih daripada 100 tahun, Kampung Morten mempamerkan keunggulan senibina rumah-rumah Melaka yang asli dengan tangga batu berhias jubin berwarna-warna diimport, ukiran kayu dan serambi panjang. Selain popular untuk dijadikan set penggambaran filem dan drama, Kampung Morten juga terkenal dengan panorama yang cantik dengan rumah-rumah tradisional yang tersusun dan menjadi tumpuan para pelancong untuk bersiar-siar tidak kira waktu siang ataupun malam.

 

Yang menariknya, walaupun sudah dihimpit bangunan-bangunan tinggi di sekelilingnya sama seperti di Kampung Baru di Kuala Lumpur, kampung ini masih lagi utuh memiliki dan memelihara identiti Melayu walaupun sudah melewati beberapa zaman dan generasi. Rumah-rumah tradisional di kampung ini wujud sejak tahun 1920-an ini diasaskan oleh Datuk Othman Md Nor pada tahun 1922 sempena nama Pesuruhjaya Tanah dan Hasil, J.F. Morten. Keunikan kampung ini terserlah apabila ianya dikelilingi oleh  Sungai Melaka yang popular dikalangan pelancong tempatan dan pelancong asing.

Menjejaki Kampung Morten menjanjikan satu pengalaman indah kepada setiap pengunjung yang datang ke perkampungan tradisional itu yang rata-ratanya kaum Melayu. Maka, untuk lebih memudahkan para pelancong dan pelawat mendapatkan informasi sambil bersiar-siar di sekitar Kampung Morten ni, Kerajaan Negeri Melaka telah mewujudkan satu lagi guided tour secara percuma . Menariknya!

 

Kampung Morten Cultural and Heritage Guided Walk merupakan satu lagi tarikan pelancongan terbaru yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Melaka dibawah kelolaan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan kerjasama Tourism Melaka dan telah bermula pada 8 Ogos 2016 yang lalu. Guided tour  berlangsung pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat secara percuma untuk orang ramai khususnya untuk para pelancong.

 

Guided walk ini akan bermula di Villa Sentosa pada jam 3.30 petang dengan pendaftaran para peserta diikuti taklimat ringkas daripada Pemandu Pelancong Terbaik Malaysia 2010/2011 iaitu Tn Hj Shaukani bin Hj Abas pada jam 4.00 petang. Guided walk akan diberikan kepada maksimum 30 orang peserta dengan mengambil masa selama kira-kira satu jam setengah untuk peserta meneroka kesemua 6 port persinggahan iaitu:

  1. Villa Sentosa (Lot 119/120)

 

Sekali imbas jika melihat deretan rumah tradisional Melayu Melaka di kampung itu, tiada siapa menyangka terdapat sebuah rumah yang masih menyimpan khazanah Melayu Melaka yang berusia lebih setengah abad. Villa Sentosa yang juga dikenali sebagai  'the malay living museum' kerana ahli keluarganya masih hidup lagi dan tinggal dirumah ini. Sejak  tahun 1960 lagi iaitu semasa Datuk Haji Hashim masih hidup , beliau telah menggalakkan para pengunjung dari dalam ataupun luar negara untuk melawat ke Villa Sentosa.Villa Sentosa menempatkan banyak koleksi bahan-bahan sejarah artifak-artifak lama dan berharga termasuklah sijil asli yang diberi oleh King Geroge ke-5 untuk pemilik rumah generasi terdahulu, seramik-seramik lama dan senaskhah al-Quran tua yang berusia lebih 100 tahun! Penerangan mengenai sejarah dan latar belakang Kampung Morten dan penduduknya akan diberikan kepada anda di sini.

 

  1. Rumah Merdeka (Lot 117)

 

Penerangan mengenai senibina rumah yang terdapat perkataan MERDEKA pada bumbungnya dan cerita mengenai Encik Ibrahim,73, iaitu pemilik rumah tersebut akan disampaikan kepada para peserta di sini. Rumah Merdeka ni memang perlu dilawati kerana keunikan dengan bendera Malaysia besar yang dilukis pada bumbung rumah serta dipenuhi pelbagai dekorasi taman termasuk rumah-rumah mini tradisional Melayu Melaka dengan pelbagai jenis pokok-pokok hiasan yang cantik. Terdapat juga replika singgahsana atau pelamin yang anda boleh guna untuk posing sakan dan bergambar di sini disamping pelbagai jenis peralatan tradisional.

 

 

  1. Homestay Yunus (Lot 88)

 

Di sini, pengenalan mengenai aktiviti ekonomi penduduk Kampung Morten akan diberikan kepada para peserta. Dengan melawat Homestay Yunus sebagai contoh, anda juga akan dapat mendengar cerita mengenai keunikan senibina dan ciri-ciri rumah tradisional Melayu Melaka, adat resam dan budaya orang-orang Melayu secara ringkas termasuklah cara pemakaian kain sarong untuk kaum lelaki dan wanita.

 

  1. Gerai Nasi Lemak Mak Som (Lot 85)

 

Seterusnya, perjalanan diteruskan pula ke Gerai Nasi Lemak Mak Som. Anda akan diberikan penerangan mengenai aktiviti ekonomi penduduk Kampung Morten antaranya yang popular adalah dengan menjaja makanan seperti nasi lemak dan lain-lain makan tradisional Melaka.

 

  1. Perusahaan Cenderamata Rumah Tradisional (Lot 102)

 

Hentian seterusnya adalah di tempat perusahaan Cenderamata Rumah Tradisional yang diusahakan oleh Encik Basir sebagai pembuat rumah mini di Kampung Morten. Anda juga berpeluang untuk melihat keunikan cara pembuatan rumah-rumah Melaka yang bersaiz kecil dan comel di sini. Kalau hati berkenan, bolehlah beli dan bawa balik untuk dijadikan cenderamata kepada keluarga dan rakan-rakan.

 

  1. Rumah Mantan Sidang (Lot 107)

 

Rumah atau port persinggahan terakhir untuk guided walk ni adalah Rumah Mantan Sidang yang merupakan bekas Tok Sidang Kampung Morten. Tok Sidang merupakan jawatan pemimpin masyarakat yang bertanggungjawab mentadbir dan menjaga kebajikan penduduk kampung serta tempat menjadi rujukan jika ada berlaku sebarang masalah. Cerita dan penerangan mengenai sistem pentadbiran Kampung Morten akan dapat anda dengar di sini.

Menarik bukan? Jadi, kepada anda yang tertarik dan mahu ikut serta untuk  explore Kampung Morten bagi mengisi masa percutian di Melaka ni, bolehlah mencuba Kampung Morten Cultural and Heritage Guided Walk . Jangan lupa untuk menempah sehari lebih awal kerana hanya maksimum 30 orang peserta saja pada satu-satu lawatan.   Sebarang maklumat lanjut dan informasi lengkap mengenai guided walk ni, anda bolehlah hubungi pihak urusetia di talian 06-2814226 atau 06-2826526 dengan segera. Jangan lupa juga untuk sama-sama kongsikan gambar-gambar menarik anda sekiranya ikut serta di dalam guided walk atau bersiar-siar sendirian di sekitar Kampung Morten ke laman instagram kami kerana kitakan #fabulousmelaka!