KUIH TRADISIONAL PENYERI AIDILFIRTI

Published
08/12/2016 by

Hari Raya Aidilfitri bakal menjelma, macam biasalah bila nak dekat Raya, masing-masing akan sibuk membuat persiapan dan ada yang buat kuih raya untuk dihidang kepada para tetamu yang datang. Rasa tak lengkap kalau tak ada juadah khas seperti wajik dan dodol dan kuih muih tradisional yang sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti bahulu, bangkit, koya, rempeyek dan sebagainya. Walaupun pada kebanyakan hari-hari lain kita boleh juga dapat bekalan untuk makan kuih-muih tersebut, tapi suasananya tetap berbeza dan semangat atau mood nak makan kuih tersebut juga berlainan. Almaklumlah, Raya kan setahun sekali!

 Bagi ganerasi sekarang, mereka sudah tentu lebih kenal kuih atau biskut Raya moden seperti almond London, tat gulung, biskut marble, mama carrie dan lain-lain. Agak susah nak lihat ganerasi muda tahu dan kenal kuih-muih zaman dulu. Jadi, pada kali ni kami nak mengimbau dan memperkenalkan antara kuih muih tradisi  zaman dulu serta kongsikan ceritanya. Ada yang masih kekal sampai sekarang dan ada juga yang dah mengalami evolusi ikut peredaran zaman.

 

  1. Kuih Bahulu

 

Kuih bahulu, kuih tradisi orang Melayu paling popular terutama pada Hari Raya. Pada zaman dulu, nak buat kuih ni begitu susah sebab perlukan skil kekuatan tangan dan mental dan 100 peratus dibuat manual, tak ada mesin pengadun mahupun oven. Nenek-nenek kita bangun seawal subuh semata-mata nak memukul adunan bahulu hingga kembang. Tak habis disitu, adunan tadi dimasukkan dalam acuan dan dibakar pula guna sabut kelapa, bercucuran air mata menahan pedih. Kini kuih bahulu boleh didapati di pasaraya sebab dah ada mesin pemukul atau pengadun juga proses membakarnya dah semakin mudah dengan adanya oven pembakar. Kuih bahulu tradisional bersaiz kecil disebut juga bahulu cermai. Ada banyak jenis acuan berbentuk ikan emas, rama-rama, ayam, bunga-bungaan dan buah cermai.

 

  1. Kuih Bangkit

 

Bahan asas adunan utama kuih bangkit ialah santan kelapa, tepung ubi, tepung sagu, gula dan telur. Kuih bangkit yang sedap akan larut dalam mulut dan bertekstur rangup apabila dikunyah. Rasanya yang manis juga menarik minat kanak-kanak. Tepung ubi dan tepung sagu akan diayak, kemudian digaul sebati bersama santan, telur dan gula kemudian dipukul sehingga kembang. Kuih bangkit terdapat bermacam-macam bentuk dan rupa mengikut acuan yang dikehendaki namun warna aslinya adalah putih kekuningan. Zaman sekarang dah ada pelbagai versi, ada yang diwarnakan dan ditambah pelbagai perisa. Tapi kuih bangkit resepi zaman dulu lebih digemari kerana rasanya yang original.

 

  1. Kuih Denderam

 

Kuih ini sedap dan manis rasanya, Ia berasal dari India Selatan, tapi dah menjadi popular dalam kalangan masyarakat Malaysia tertamanya Melayu. Di India ia dikenali sebagai ’Adhirasam’ dan menggunakan lada hitam sebagai satu dari bahan utamanya. Bahan utama kuih ni ialah tepung beras, tepung gandum dan gula merah. Tiada bahan sampingan lain yang dicampurkan lalu adunan akan digoreng dan kuih ini sedap dimakan panas-panas. Bila dah sejuk dan dibiar terlalu lama, rasanya akan bertukar sedikit keras dan tak lembut lagi tapi rasanya masih sedap dan elok untuk dimakan.

 

  1. Kuih Buah Rotan

 

Kuih buah rotan disebut sebagai kuih redan atau keciputan dibuat daripada tepung pulut dan telur. Kuih ini dibentukkan menjadi bulat dan disalut dengan bijan sebelum ianya digoreng dengan minyak masak. Kuih ini diberi nama sebagai kuih buah rotan sebab bentuknya macam buah rotan yang terdapat dalam hutan.

 

  1. Rempeyek

 

Rempeyek adalah kuih tradisional rangup yang dibuat daripada tepung beras dicampur dengan air hingga membentuk adunan kental, ditambah garam dan biasanya semasa menggoreng menggunakan acuan, pembuatnya akan menabur kacang tanah dan ikan bilis. Rempenyek juga dipelbagaikan dengan taburan kacang hijau dan kacang dal yang namanya disebut sebagai tumpi dan ada yang menukar penggunaan ikan bilis dengan udang kering sebagai rencah.

 

  1. Kuih Koya

 

Bahan asas kuih koya ialah kacang hijau kisar dan gula. Ramuan kuih koya sangat ringkas dan tak perlu dimasak langsung tapi susah nak dapat kuih koya yang tahan lama terutama jika kadar kelembapan kuih masih tinggi. Maka ia perlu dijemur berhari-hari untuk mengeringkannya. Kuih ni akan dijemur sangat lama untuk memastikan kesegarannya terjamin. Ada macam-macam bentuk dan acuan kuih koya yang dulunya dibuat daripada kayu. Adunan akan dimasukkan ke dalam acuan dan ditekan-tekan sehingga padu. Kalau salah teknik menekan, masa nak keluarkan dari acuan, kuih boleh pecah berderai dan ada juga yang akan rosak tak cantik. Kita kena ketuk sikit perlahan-lahan untuk keluarkan kuih koya dari acuannya.

 

  1. Kuih Ros

 

Kuih ros atau kuih goyang juga sangat popular bila Hari Raya. Kuih ros diperbuat dari tepung beras yang digoreng. Kuih ini berasal daripada kuih tradisional dari India, khususnya India Selatan (Tamil Nadu dan Kerala), di mana kuih ini dikenali sebagai ’Achu Murukku’ atau ’Achappam’, rasanya juga manis. Di Malaysia, kuih ini dinamakan kuih goyang kerana selepas acuannya dicelup dalam adunan tepung cair, kuih ini dicelup ke dalam minyak yang panas dan digoyang-goyangkan supaya tertanggal. Nama ros pula diambil sempena bentuknya yang serupa kelopak bunga.

8. Kuih Tiram

 

Kuih tiram atau juga dikenali dengan nama kuih lidah buaya, kuih selati dan kuih selayang merupakan salah satu kuih tradisional popular terutamanya kanak-kanak kerana rasanya rangup dan manis. Bahan utama ialah tepung gandum, margerin, gula dan garam sesedap rasa. Gula halus dijadikan salutan untuk mengimbangi adunan kuih yang agak tawar ni. Gula hanya diletak sedikit sahaja dalam adunan tepung.

 

9. Kuih Sepit

 

Kuih sepit atau kuih kapit ialah kuih lama yang dibuat dan didapati secara meluas tak kira hari-hari biasa atau Hari Raya. Namanya diambil dari cara pembuatannya di mana adunan akan dikepit di antara dua acuan, yang berbentuk penyepit. Kuih ini diperbuat daripada campuran tepung beras, telur, gula dan santan. Meskipun ia asalnya makanan tradisi kaum Cina, kuih ini juga digemari masyarakat berbilang kaum terutama orang-orang Melayu. Kuih ini antara menu penyeri sewaktu dan selepas majlis makan besar pada malam Tahun Baru Cina. Ia merupakan hidangan ringkas yang dijadikan pemanis mulut yang dihidang bersama teh panas orang-orang Cina. Bagi orang-orang Melayu, kuih sepit cukup istimewa dan dicari-cari sewaktu Hari Raya. Ada juga versi yang tak dilipat tetapi digulung yang dinamakan kuih rokok.

 

10. Kuih Karas

 

Diperbuat daripada tepung beras, kuih karas berbentuk seperti jaring atau jala halus, teksturnya rangup dan rasanya manis. Kuih karas dihasilkan dengan menggunakan adunan tepung beras cair yang dikirai dan diketuk menggunakan acuan khas dibuat daripada tempurung berlubang lalu digoreng dalam minyak panas sehingga warnanya menjadi kuning keemasan. Ia kemudian diangkat dan dilipat.

 

11. Kuih batang buruk

 

Ia merupakan sejenis kuih yang dibuat daripada tepung gandum dicampur dengan tepung beras dan tepung kelapa, diuli menjadi doh dan dibentuk silinder bulat berongga, dan diisi serbuk kacang hijau di dalamnya yang digoreng. Namanya diberi batang buruk sebab rupa yang berbentuk batang pokok diselitupi serbuk kacang hijau menjadikannya seperti habuk kayu buruk. Dari rupanya ini, ia digelar batang buruk. Semasa membentuk doh, biasanya batang daun betik digunakan bagi membentuk doh silinder. Awas, jangan bercakap masa makan kuih ini takut nanti tersembur habuk keluar dari mulut!

 

12. Kuih Siput

 

Kuih siput dibuat daripada tepung gandum, tepung ubi dan margerin. Ia kemudian dicampur rempah dan dibentuk seperti siput dengan digolekkan pada acuan sebelum digoreng dengan minyak masak bersama daun kari sampai bertukar kekuningan dan diangkat. Kuih siput biasanya hanya untuk dihidangkan pada Hari Raya.

 

13. Dodol

 

Dodol atau kelemai sangat popular di Melaka. Nak kacau dodol bukanlah satu kerja mudah. Ramai orang selalu mencuba nak membuatnya tapi tak semua orang dapat buat dodol yang sedap dan bermutu tinggi. Biasanya mereka yang mahir membuat dodol ini terdiri daripada mereka yang telah berusia. Jarang generasi muda mahir membuat dodol. Bahan-bahan untuk buat dodol terdiri daripada santan kelapa, tepung beras, gula pasir, gula melaka dan garam yang akan diadun melalui kaedah kacauan secara berterusan selama lebih kurang 3 hingga 4 jam pada. Hasilnya, rupa dan rasa Dodol akan berubah menjadi melekit, berkilat, tebal dan manis. Ada juga dodol yang diperisakan seperti dodol durian, dodol pandan dan lain lain mengikut citarasa masing-masing.

 

14. Wajik

 

Wajik diperbuat daripada pulut yang dimasak dengan manis dengan gula Melaka. Diantara jenis penyediaan wajik yang paling biasa dilakukan adalah pulut yang digunakan itu dimasak sampai lembut dan cara lain pula adalah pulut itu boleh juga dimasak jelatah atau separuh masak untuk menghasilkan rasa berkerutup apabila dimakan. Terdapat beberapa jenis wajik selain wajik asli iaitu wajik durian dan wajik sirat. Beza wajik biasa dengan wajik sirat adalah, wajik sirat bertekstur halus kerana pulut akan dikisar terlebih dahulu, tapi rasanya tetap manis. Wajik juga boleh dicampurkan dengan durian sekiranya ia dihasilkan pada musim durian bagi menghasilkan wajik berperisa durian.

 

Cerita pasal kuih muih tradisional memang tak habis di sini. Anda dijemput datang beramai-ramai ke Festival Kuih Tradisional Negeri Melaka 2016 pada 25 dan 26 Jun 2016 di Japerun Rim, Jasin anjuran Tourism Melaka dan Japerun Rim dan disokong oleh pelbagai agensi. Pelbagai aktiviti termasuk penyediaan 3 jenis kuih tradisional oleh 11 kumpulan wanita Daerah Jasin, bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari dimana demonstrasi membuat kuih karas dan kuih koya akan diadakan. Antara kuih-muih tradisional yang disediakan adalah seperti kuih bahulu, kuih ros dan kuih denderam untuk diedar kepada ibu tunggal dan fakir miskin di Daerah Jasin.

 

Terdapat juga penyediaan 16 kawah dodol atau kelemai oleh belia-belia di Daerah Jasin termasuk penggiat-penggiat industri pelancongan Negeri Melaka bermula jam 9.00 malam hingga awal pagi dan demonstrasi buat dodol durian dan dodol pandan. Festival ini akan turut diserikan dengan kehadiran YAB Datuk Seri Ir. Hj. Idris bin Hj. Haron, Ketua Menteri Melaka pada jam 10.30 malam. YAB Ketua Menteri Melaka akan sama-sama mengacau dodol yang disediakan secara tradisional. Jangan lupa untuk luangkan masa anda pada 25 dan 26 Jun ini untuk datang berkunjung ke Japerun Rim bagi bersama-sama merasai kemeriahan Festival Kuih Tradisional Negeri Melaka 2016 sempena Hari Raya yang bakal menjelang. Jangan lupa untuk terus berkongsi gambar-gambar menarik anda ke instagram kami kerana kitakan #fabulousmelaka!