LESTARI TRADISI MALAM TUJUH LIKUR

Published
08/12/2016 by

Ketibaan Malam Tujuh Likur tidak lama lagi sangat dinanti-nantikan semua orang dan boleh dikatakan ia sudah menjadi kebiasaan bagi umat Islam Malaysia mengistimewakannya. Yang seronok tak terkata sudah tentunya golongan remaja dan anak-anak kecil, berpesta bermain bunga api, berlawan meriam buluh dan membakar mercun hingga suasana beberapa hari sebelum Raya menjadi riuh dan gegak gempita pada malam harinya.



Berbalik kepada cerita Malam Tujuh Likur, sekarang dah semakin ramai umat Islam terutamanya orang Melayu yang melupakan tradisi menyambut Malam Tujuh Likur. Rata-ratanya dah mula busy bersiap-siap nak balik kampung masing masing atau nak balik beraya di kampung mertua. Tak ketinggalan, ada juga yang ambil kesempatan nak melancong sakan ke luar negara apabila dapat cuti panjang sempena Hari Raya.


Selain jadi budaya tradisi yang masih kukuh dipertahankan di penghujung Ramadhan, Malam Tujuh Likur yang disambut pada 27 Ramadhan setiap tahun juga sebenarnya merupakan acara ambang kemuncak atau pre-sambutan Hari Raya Aidilfitri dimana ianya sinonim bagi memeriahkan 10 malam terakhir Ramadhan dan mengembalikan nostalgia hari raya tanpa melibatkan unsur-unsur khurafat.  Selagi segala tuntutan ibadat sudah dikerjakan oleh masyarakat Melayu, mereka tidak berdosa menyambut Malam Tujuh Likur dengan meneruskan tradisi orang orang kampong seperti memasang pelita, panjut, bermain meriam dan sebagainya selagi tidak menyalahi hukum syarak! 10 malam terakhir ini ini juga sering dikaitkan dengan malam Lailatulqadar iaitu satu detik keemasan untuk setiap Muslim merebut syurga apabila sekalian malaikat beserta penghulunya, Jibril turun ke bumi untuk mengaminkan dan mengangkat doa orang-orang yang melakukan ibadah seperti bersembahyang, bertasbih, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, bertahmid, bertadarus dan bertakbir kepada Allah SWT.

 

Keunikan sambutan Malam Tujuh Likur zaman dulu bukan sahaja terletak pada kemeriahan bermain bunga api dan meriam buluh sambil diterangi cahaya pelita semata-mata, ia juga sebenarnya menandakan sebagai bermulanya hari orang-orang kampung untuk membuat persiapan sebelum 1 Syawal. Lazimnya beberapa rumah berhampiran akan muafakat bersatu tenaga menyediakan juadah khas seperti wajik, dodol atau kelemai, kuih-muih dan macam-macam lagi dengan meminta bantuan kanak-kanak untuk menumbuk gula Melaka atau tepung untuk dibuat kuih.  Jiran tetangga akan sama-sama bergiliran kacau dodol kerana ia mengambil masa yang panjang untuk masak. Bila ianya siap dimasak, mereka akan membahagi-bahagikan juadah tersebut sama rata untuk dinikmati oleh ahli keluarga masing-masing.

 

Tradisi pasang pelita yang dibuat daripada batang buluh panjang yang menjadi amalan sejak zaman dulu adalah bagi membantu orang-orang yang berjalan kaki ke surau atau masjid untuk menunaikan solat terawih kerana suasana pada waktu malam yang terlalu gelap. Orang kampung memasang pelita sepanjang Ramadhan sebenarnya sebagai simbol meraikan kedatangan bulan paling mulia itu dan menjadi penyeri setiap rumah kerana pada zaman dulu tak ada langsung kemudahan elektrik mahupun lampu spotlight lagikan pula lampu kelap-kelip seperti sekarang ni. Bezanya kini, budaya pasang pelita lebih kepada simbolik nak mengimbau kesusahan orang dulu-dulu nak pergi ke surau dan masjid pada waktu malam dalam keadaan gelap gelita dan pelita menjadi lambang tradisi serta ikon kemeriahan sambutan Hari Raya sejak sekian lamanya.

 

Memang tidak dapat dinafikan suasana merayakan Malam Tujuh Likur di bandar dan kota tidak akan  sama dengan keindahan dan kemeriahan seperti suasana di kampung kerana kehidupan dan cara hidup di bandar mungkin tidak mengizinkan penduduknya untuk memasang pelita. Selain menjadi tradisi, Malam Tujuh Likur juga dilihat berpotensi menjadi tarikan pelancong asing kerana kemeriahan dan keunikan sambutannya yang tak ada dalam adat resam mereka. Justeru, Tourism Melaka meneruskan kelestarian acara sambutan Malam Tujuh Likur dengan menganjurkan Sambutan Malam Tujuh Likur Negeri Melaka 2016 pada 1 Julai 2016 di Pusat Bantuan Pelancong, Ayer Keroh. Diam tak diam, acara pelancongan ni dah pun masuk tahun ketiga penganjurannya dan tahun ni akan diteruskan lagi berikutan sambutan yang menggalakkan daripada penggiat-penggiat industri pelancongan dan individu-individu yang bekerjasama dalam menjayakan program ini.

 

Acara akan bermula dengan penyediaan juadah Hari Raya oleh penggiat industri pelancongan Negeri Melaka bermula jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang. Antara juadah Hari Raya yang disediakan adalah seperti dodol, wajik, wajik durian, lemang, rendang  dan kuih raya. Selepas aktiviti memasak dan membungkus selesai, para tetamu kehormat akan mengedarkan bungkusan makanan berupa bungkusan Pek Hari Raya kepada perantauan dan para pelancong yang melalui Tol Ayer Keroh semasa Sambutan Malam Tujuh Likur tersebut. Sambutan Malam Tujuh Likur Negeri Melaka 2016 akan turut dihiasi pelita-pelita Raya dan lampu-lampu hiasan yang akan menyerikan lagi program ini disamping meraikan kehadiran pelancong yang datang ke Melaka.

 

Program ini akan diserikan dengan kehadiran YAB Datuk Seri Ir. Hj. Idris bin Hj. Haron, Ketua Menteri Melaka pada jam 10.30 malam yang akan turut serta mengedarkan bungkusan Hari Raya kepada para perantauan dan pelancong yang melalui Tol Ayer Keroh. Bagi anda yang berkelapangan, jangan lupa singgah dan luangkan masa bersama-sama kami dan merasai kemeriahan sambutan Malam Tujuh Likur Negeri Melaka 2016 sempena kedatangan Hari Raya Aidilfitri tak lama lagi. Kongsikanlah gambar-gambar menarik anda ke instagram kami kerana kitakan #fabulousmelaka!