MELAKA DESTINASI SUKAN LASAK ’OFF-ROAD’ BERTARAF ANTARABANGSA

Published
08/08/2016 by

Penyertaan ramai beserta sambutan hangat dari pelbagai golongan masyarakat memberi peluang kepada kelab, persatuan dan organisasi sukan lasak untuk menganjurkan pelbagai aktiviti tersebut ekoran keghairahan orang ramai terhadap sukan tersebut terutamanya di negeri ini. Melaka yang terkenal sebagai destinasi pelancongan unggul turut menyediakan beberapa lokasi trek sukan ekstrem dan menjadi gelanggang jaguh dunia memburu kejuaraan seperti Melaka International Rainforest Challenge pada tahun 2012 yang melibatkan 350 peserta daripada 30 negara termasuk Venezuela, Colombia, Denmark, Austria, Rusia, Itali dan lain-lain lagi.

 

 

Kali ini kami ingin berkongsi mengenai perkembangan sukan lasak ini di Melaka terutamanya yang melibatkan trek off-road atau jalan hutan, gunung, bukit, sungai, pasir, batu dan sebagainya selain jalan atau litar berturap biasa. Perlumbaan Litar Lasak adalah satu format perlumbaan racing di mana kenderaan dimodifikasi mengikut kelas berbeza untuk perlumbaan termasuklah kereta, ATV, motosikal, dan buggy untuk  berlumba melalui persekitaran yang lasak dan bukannya mainstream racing.  Litar Lasak off-road memang mencabar dan menguji cara pengendalian serta skill pemandu kenderaan-kenderaan tersebut. Pelbagai cabaran harus ditempuh antaranya meredah laluan yang berlumpur, berpasir, mendaki bukit, menuruni cerun yang curam, jalan berliku dan beralun, mengharungi batu-batu besar dan licin selain meredah anak sungai dan banyak lagi. Litar off-road ni bukan saja mencabar, malah jika tidak dikendalikan dengan betul, ianya boleh mengundang kemalangan dan mungkin meragut nyawa!

 

Pikap atau kenderaan pacuan empat roda 4X4 memang sinonim dengan negara kita dan penggemarnya terdiri daripada segenap lapisan usia. Pelbagai faktor penggalak bagi pengguna yang memandu kenderaan pikap. Jika dahulu, ramai menggunakannya disebabkan permukaan jalan yang tak rata seperti di kawasan hutan atau pembalakan, ladang dan sebagainya, sekarang memandu pikap menjadi trend popular yang bukan saja digemari oleh kaum lelaki malah turut juga digemari kaum perempuan!

 

Pikap 4X4 untuk tujuan racing dan untuk memenuhi kepuasan diri dalam mengendalikan trek mencabar di jalan-jalan hutan perlu diubah suai lebih ekstensif untuk melalui laluan sukar seperti cerun dan bagi membolehkannya menjadi kenderaan yang betul-betul lasak. Perbelanjaan untuk modifikasi kenderaan 4X4 ni boleh dikatakan agak tinggi supaya ia boleh meredah dan menempuh apa saja jenis permukaan mencabar di muka bumi. Pemilihan jenis kenderaan juga memainkan peranan untuk memberi kepuasan kepada pemiliknya, selain faktor ketahanan, keupayaan, kekuatan dan lain-lain.

Berikutan kepesatan dan populariti sukan pemotoran yang makin hangat, banyak acara perlumbaan off-road bagi pikap 4X4 bagi meredah laluan mencabar telah dianjurkan di Melaka di beberapa trek yang popular seperti:

  1. Hutan Rizab Bukit Senggeh, Jasin
  2. Hutan Rizab Bukit Sedanan, Jasin
  3. Kampung Teluk Belanga, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah
  4. Pantai Klebang
  5. Bukit Asahan, Jasin
  6. Tapak Latihan Pemanduan Lasak JBPM, Cheng

 

 

Selain 4X4, aktiviti menunggang all-terrain vehicle atau ATV juga membolehkan penggemarnya menakluk cabaran lasak di laluan off-road yang mencabar dan berliku kerana fungsi dan fizikalnya yang tahan lasak.

 

Motosikal jenis motocross pula direka untuk digunakan di luar jalan raya iaitu di jalan tanah merah yang tak rata. Motosikal motocross mempunyai tempat duduk dan pemegang yang tinggi, roda berjejari besar serta sistem suspensinya yang keras dan mempunyai gerakan yang besar untuk menyerap daya hentakan di jalan tanah merah yang tentunya lebih kuat berbanding di jalan raya biasa. Tayar motosikal motocross juga mempunyai bunga yang lebih banyak bagi mengukuhkan cengkaman di jalan tanah merah yang licin. Antara kategori lain off-road motocross termasuk mendaki bukit, seretan perlumbaan dan ujian kelajuan rekod tanah. Manakala bagi motosikal dual-purpose pula, ia memiliki dua kegunaan. Ia mempunyai bentuk fizikal yang sama seperti motosikal motocross tetapi ianya dipadankan agar selesa digunakan walaupun di atas jalan raya biasa.

Bagi sukan pemotoran rally, kereta atau rally car yang digunakan untuk tujuan perlumbaan dan drift pada litar tanah merah dan catatan masa terpantas akan diambil untuk beberapa pusingan selain menguji kecekapan dan kepantasan menukar tayar.

Malaysian Rally Championship 2011 ialah antara acara kejohanan rally yang pernah dianjurkan di Kawasan Industri Masjid Tanah, Londang. Selain itu, terdapat juga beberapa buah litar lasak off-road yang sering menjadi port penggemar-penggemar sukan pemotoran ni khususnya, ATV, motocross dan rally antaranya adalah:

  1. Sparks Wood Adventure Park untuk motocross dan ATV
  2. Trek MX Motocross Ayer Molek,
  3. Litar Motocross Gadek, Alor Gajah
  4. Litar Telok Gong, Masjid Tanah
  5. Litar Kampung Kuala Sungai Baru,
  6. Litar Kampung Bukit Larang, Telok Mas
  7. Litar Pantai Klebang
  8. Litar ATV Agrotourism Homestay Parit Penghulu

 

Mountain bike atau basikal bukit/gunung juga sangat popular dikalangan generasi muda yang gemarkan off-road ride challenge.  Mountain Bikes sama sahaja dengan basikal biasa, cuma pembuatannya lebih tahan berbanding yang biasa kerana ciri-ciri pembuatannya lebih kepada ketahanan lasak dan ianya digunakan untuk tujuan menerokai off-road.

Mountain Biking dibahagikan kepada beberapa kategori, antaranya cross country (XC), trail riding, all mountain, downhill, freeride, street riding, dirt jumping dan trails. Ini adalah sukan individu yang perlukan daya ketahanan dari segi fizikal dan mental. Sama seperti yang lain, ia juga memerlukan kemahiran dan skill untuk mengendalikannya. Mountain Biking boleh dilakukan hampir dimana-mana saja dari jalan raya hingga ke jalan lasak off-road. Biasaannya pengayuh Mountain Bikes memilih jalan off-road, fire road atau singletrack iaitu jalan yang sempit melalui hutan-hutan, gunung-ganang, atau gurun.

Bagi penggemar-penggemar sukan mountain bike, selain melepaskan gian dan mencabar keupayaan diri di estet-estet getah dan ladang-ladang kelapa sawit, antara litar-litar dan port yang popular termasuklah:

  1. Ladang Bukit Kajang, Jasin
  2. Kampung Kelemak, Alor Gajah
  3. Kampung Tehel, Jasin
  4. Kampung Gapam, Jasin
  5. Kampung Ladang Baharu, Kuala Sungai Baru
  6. Kampung Orang Asli Asahan
  7. Kampung Masjid Tanah
  8. Kampung Durian Tunggal

 

Bagi setiap penggemar sukan lasak ini, ilmu dan skill berkaitan pengendalian kenderaan-kenderaan ni perlulah dikuasai terlebih dahulu kerana keadaan litar off-road yang agak membahayakan. Pelbagai teknik dan aspek keselamatan juga perlu dipelajari dengan betul ketika mengharungi laluan off-road. Pemandu dan penunggang kenderaan harus bersedia dari segi mental, ketahanan diri dan juga yang penting keberanian dalam menghadapi segala kemungkinan ketika melakukan aktiviti-aktiviti off-road.

Selain membantu menjana ekonomi negeri melalui perbelanjaan hospitaliti, pengendali makanan dan hiburan, acara ini juga memberi publisiti dan promosi kepada Melaka sebagai destinasi pelancongan sukan

 

Kepada penggemar-penggemar sukan pemotoran dan mountain bike, jangan lupa untuk mencuba litar lasak off-road yang ada di Melaka sambil menerokai keindahan alam semulajadi seperti air terjun, sungai, hutan dan banyak lagi.  Jangan lupa juga untuk sama-sama kongsikan gambar-gambar menarik anda jika anda pernah mencuba litar lasak off-road yang ada di Melaka ke instagram kami kerana kitakan #fabulousmelaka!