MELAKA PUSAT PELANCONGAN DUNIA

Published
06/01/2016 by

Sektor pelancongan merupakan penyumbang kelima kepada Pendapatan Negara Kasar iaitu RM61 bilion dan RM72 bilion bagi resit pelancongan.Industri ini terus menjadi sumber utama tukaran asing yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi , pelaburan dan guna tenaga serta mengukuhkan akaun perkhidmatan dalam imbangan pembayaran. World Tourism  Barometer pada tahun 2014 telah meletakkan Malaysia di kedudukan ke-12 kehadiran pelancong iaitu seramai 27.4 juta. Industri pelancongan terus menjadi penyumbang terbesar kepada perkembangan KDNK Negeri Melaka. Semenjak tahun 1999 hingga 2015, seramai 130.47 juta pelancong telah melancong ke Melaka dengan purata peningkatan sebanyak 10% setiap tahun di mana 75% pelancong adalah pelancong domestik dan 25% adalah pelancong asing. Menyedari kepentingan pelancongan kepada ekonomi Negeri Melaka, pihak kerajaan Negeri Melaka telah membangun dan mengimplimentasikan pelbagai usaha dan strategi untuk menarik seramai 16.5 juta pelancong pada tahun ini. 

 

Kejayaan Negeri Melaka diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2008 atas usaha berterusan Melaka  mengekalkan dan memulihara objek warisan dunia  supaya terus dihargai dan seterusnya mengangkat status pelancongan di negeri ini.

 

Kejayaan industri pelancongan Negeri Melaka ini terbukti apabila Melaka tersenarai sebagai sebuah destinasi pelancongan yang perlu dilawati pada tahun 2012 di dalam akhbar The New York Times. Melaka menduduki tangga ke-28 daripada 45 buah destinasi pelancongan yang terpilih di serata dunia. Selain itu, Melaka juga telah menerima pengiktirafan antarabangsa daripada laman web pelancongan yang terkenal di dunia iaitu Tripadvisor.com. Melalui laman web tersebut, 4 buah hotel di Melaka telah tersenarai berdasarkan kepada kategori seperti berikut:-

 

i)         Top 25 Trendies Hotel – The Majestic Hotel;

ii)        Top 25 Bargain Hotel – Courtyard @ Hereen  Boutique Hotel;

iii)       Top 25 B&Bs and Inns – Cafe’ 1511; dan

iv)       Top 25 Luxury Hotels & Top 20 Hotels for Service – Hotel Jonker Boutique.

 

Negeri Melaka terus mencatatkan kecemerlangannya dalam industri pelancongan negara melalui pengikhtirafan Anugerah Pelancongan Malaysia 2010 / 2011 dengan memenangi 4 kategori seperti berikut:-

 

i)         Innovative Tourist Attaraction Man-Made Attraction / National Culture Heritage Identity Excellent – Melaka River Cruise;

ii)        Best Hotel Service 4 Star Hotel (City) Malaysia – Hotel Holiday Inn Melaka;

iii)       Best Tour Programme (Merit) – Sleepover @ Museum (Perbadanan Muzium Melaka & Hotel Naza Talyya Melaka); dan

iv)       Best Tourist Guide (Excellence) – Tn. Hj. Shaukani Bin Abbas.

 

Di sebalik kemajuan sektor pelancongan yang pesat dan dikenali sehingga peringkat antarabangsa, timbul keperluan bagaimana pihak kerajaan Negeri Melaka dapat mengekalkan momentum pertumbuhan dan peningkatan sektor ini kepada ekonomi Melaka. Oleh itu, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan Negeri Melaka melalui Tourism Melaka dalam memaju dan mempromosikan aktivit pelancongan di negeri ini. Sehingga kini , strategi pelancongan adalah lebih fokus kepada 12 sub-sektor pelancongan yang bertemakan ”Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia, mempertingkatkan promosi pelancongan berasaskan pasaran domestik dan antarabangsa, mempromosikan Niche Market atau Niche Product dan mempertingkatkan kajian dan pembangunan.

 

Bagi mengekalkan kedudukan Melaka sebagai pusat pelancongan yang dikenali dunia, Tourism Melaka telah mengambil langkah berwaspada (precaution) dan pendekatan strategik dalam mempromosikan destinasi Melaka sebagai destinasi pelancongan yang harus dilawati oleh para pelancong dari dalam dan luar negara. kerjasama strategik bersama-sama dengan pihak Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan Malaysia dalam usaha menarik 16.5 juta pelancong melalui pelaksanaan program dan aktiviti pelancongan domestik dan antarabangsa. Berikut adalah segmentasi pasaran dan langkah-langkah yang telah dikenalpasti dalam memastikan aktiviti/program promosi yang dirancang berada dalam landasan yang betul dan mencapai KPI yang disasarkan:

 

1)    Pasaran Domestik

Pasaran ini mewakili 75% kedatangan pelancong ke Melaka. Selain daripada menganjur dan menyertai program pelancongan anjuran Kerajaan Negeri, Tourism Malaysia dan Event Management Company (EMC), berikut adalah beberapa strategi yang telah dikenalpasti khususnya dalam menarik ‘repeated visitor’ dan pengunjung baru ke Melaka secara konsisiten.

 

2)    Pasaran Antarabangsa (Tradisi)

Singapura, China dan Indonesia merupakan tiga negara utama pelancong asing yang melawat Melaka. Melalui pasaran ini, BPP akan mempromosikan Melaka secara berterusan, konsisten dan bersepadu melalui penganjuran pameran, ‘roadshow’ dan seminar seperti Festival Pelancongan Melaka dan Travel Malaysia.

 

3)    Pasaran Persidangan , Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE)

Pasaran MICE merupakan pasaran berlaba tinggi yang berpotensi untuk menarik ramai ahli perniagaan berkualiti ke Melaka. Langkah promosi akan diperhebatkan bagi memasarkan Melaka sebagai destinasi yang ideal bagi aktiviti MICE yang mempunyai cirri penting seperti kestabilan politik, pakej yang berdaya saing, kebolehan pengurusan yang kukuh dan perkhidmatan yang cemerlang. Penekanan diberi bagi menambah baik dan menaiktaraf kemudahan MICE bagi menjadi tuan rumah persidangan dan pameran di peringkat antarabangsa.

 

4)    Pasaran Antarabangsa (Emerging Market)

Tourism Melaka meneruskan penyertaan ke pameran-pameran pelancongan antarabangsa yang dikenalpasti dan berimpak tinggi untuk pasaran-pasaran antarabangsa yang berpotensi dalam menjana kedatangan pelancong asing ke Melaka seperti East Mediterranean Tourism & Travel Exhibition (EMITT) Istanbul, Internationale Tourismus Borse (ITB) di Berlin, Jerman , Arabian Travel Market (ATM) di Dubai, U.A.E dan World Travel Market (WTM) di London, England.

 

5)    Penganjuran Lawatan Suaikenal (Fam Trip)

            Ini merupakan salah satu daripada strategi dalam mempromosikan destinasi Melaka secara langsung kepada penggiat industri pelancongan domestik dan antarabangsa yang terdiri dari agen-agen kembara dan media. Oleh yang demikian, Tourism Melaka akan meneruskan kerjasama strategik dengan pihak Tourism Malaysia yang aktif menganjurkan lawatan ’Fam Trip’ ke Malaysia apabila berlangsungnya acara-acara pelancongan di peringkat kebangsaan.  

 

6)    Kerjasama Strategik Dengan State Tourism Authority

            Kaedah ini bakal merangsang pengwujudan pakej-pakej pelancongan yang lebih berkualiti, inovatif dan berdaya saing yang secara tidak langsung dapat menggalakkan kedatangan bilangan pelancong yang berkualiti terutama dari segi purata bermalam di hotel dan perbelanjaan pelancong di Negeri Melaka khasnya.

 

7)    Lokasi Pilihan Penggambaran

Tourism Melaka akan meneruskan dan memanjangkan kerjasama dengan syarikat-syarikat produksi tempatan dan antarabangsa untuk mempromosikan destinasi Melaka melalui penggambaran khususnya produk-produk ikon, warisan dan produk-produk baru bagi penggambaran filem, iklan televisyen, dokumentari dan lain-lain lagi.

 

8)    Acara Bertema

Usaha yang lebih giat diambil untuk mempromosikan Melaka sebagai destinasi yang menganjurkan sambutan dan pesta secara berterusan sepanjang tahun seperti Majlis Rumah Terbuka Malaysia,  Festival Sungai Antarabangsa Melaka, Karnival Udara Antarabangsa, Karnival Jualan Mega dan Le Tour de Langkawi .

 

9)    Peningkatan Akses Laluan Antarabangsa

Kerajaan Negeri Melaka terus berusaha untuk memperluas dan menaiktaraf infrastruktur kemudahan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka dan menggalakan lebih banyak syarikat penerbangan untuk mendarat di Melaka bagi sektor domestik dan sektor antarabangsa. Dasar ruang udara terbuka dan liberal terus menggalakkan syarikat penerbangan asing menambah perkhidmatan ke Melaka dan seterusnya meningkatkan kedatangan pelancong.

 

10) Penggunaan Media Sosial dan Laman Sesawang

Era globalisasi menyaksikan penggunaan telekomunikasi dalam mempromosikan pelancongan Melaka  terutamanya di Laman Sesawang dan Media Sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter memberikan impak yang amat positif dan peningkatan yang sangat ketara bagi mempromosikan destinasi dan perkhidmatan masing-masing. Maklumat sesuatu lokasi atau perkhidmatan boleh diakses dari serata dunia dan dapat menjana ekonomi dalam industri pelancongan.

 

Tourism Melaka akan terus menerajui pembangunan industri pelancongan melalui pemasaran dan promosi pelbagai produk dan perkhidmatan pelancongan yang terdapat di Melaka. Usaha ini diharap mendapat sokongan oleh agensi pelaksana lain termasuk Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malayia, Tourism Malaysia, pihak berkuasa tempatan, penggiat industri pelancongan dan banyak lagi.   Dengan  adanya kesepakatan di antara pihak kerajaan negeri dan pihak swasta dalam membangunkan industri pelancongan ini, hasrat Negeri Melaka untuk menjadi sebuah destinasi pelancongan yang unggul di dunia akan tercapai.  Sebagai rakyat Negeri Melaka, marilah kita bersama-sama menerapkan nilai Think Tourism dan Act Tourism. Marilah kita bersama-sama menggiatkan lagi usaha mempromosikan Negeri Melaka sebagai destinasi pelancongan utama negara. Kitakan @fabulousmelaka!