PANGGUNG BANGSAWAN MELAKA

Published
06/01/2016 by

Beberapa tahun lepas, pernahkah anda terlihat sebuah bangunan usang dan lama sekiranya melalui Jalan Hang Tuah atau Jalan Munshi Abdullah di tepi Sungai Melaka yang dahulunya dikenali sebagai Panggung Cathay? Panggung Cathay tersebut merupakan sebuah panggung wayang gambar era 60-an yang menayangkan begitu banyak filem-filem first-run keluaran Cathay Keris popular antaranya adalah arahan dan lakonan seniman termasyhur negara iaitu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee seperti filem Do Re Mi, Bujang Lapok, Labu dan Labi, Ibu Mertuaku, Anakku Sazali dan bermacam-macam lagi yang menjadi tontonan dan kegilaan pada zaman emas tersebut. First-run film ialah filem-filem paling terbaharu dan terkini yang ditayangkan secara serentak di panggung-panggung di Singapura, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Bharu, Kuantan, Melaka dan di bandar-bandar utama lain di Malaysia ketika itu.

 

Di Melaka hanya filem-filem first-run keluaran syarikat Cathay Keris sahaja sering ditayangkan di panggung wayang Cathay di Jalan Munshi Abdullah, terletak bersebelahan jambatan merentangi Sungai Melaka. Panggung Cathay tersebut pada sektiar awal 60-an merupakan panggung wayang paling terbaik dari segi keselesaan dengan dilengkapi hawa dingin, mempunyai kelas khas atau cricle seats dan kedudukannya yang strategik iaitu bertentangan dengan perhentian bas dan teksi lama. Kelebihan ini hanya bertahan sehinggalah awal tahun 90-an sebelum ianya ditutup operasi. Panggung-panggung Shaw Brothers setanding dengan panggung Cathay di Melaka ketika itu ialah Panggung Rex dan Panggung Federal tetapi kedua-duanya cuma menayangkan filem-filem Hollywood, Bollywood dan Hong Kong sahaja. Sebelum ini, panggung Cathay tersebut telah lama dibiarkan tidak berfungsi namun kini segalanya telah berubah bagai mati hidup kembali.

 

Kegiatan seni persembahan, muzikal, konsert, dan program kesenian bangsawan atau teater di Melaka kini semakin bertambah rancak dengan satu lagi usaha murni di bawah projek Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dengan seliaan sepenuhnya oleh Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) melalui penaiktarafan panggung wayang gambar Cathay tersebut. Kini ianya dikenali sebagai Panggung Bangsawan Melaka, telah pun  selesai melalui proses penaiktarafan dan baik pulih yang menelan belanja sebanyak RM7.6 juta.

Panggung Bangsawan Melaka sudah pun semakin dikenali ramai dengan penganjuran pelbagai jenis pementasan teater mahupun konsert dan telah memulakan operasi semula pada awal tahun 2015 sejak sekian lama ditutup. Panggung ini mencipta sejarah apabila dirasmikan buat kali pertama pada 25 Oktober 2015 dengan persembahan Konsert Keroncong Tugu Cafrinho dari Jakarta dengan disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Ir. Hj. Idris bin Hj Haron.

 

Panggung Bangsawan Melaka kini telah dilengkapi landskap indah dan rekabentuk luaran yang serba moden dan menarik, penghawa dingin, sistem audio dan pencahayaan berteknologi tinggi serta boleh menampung seramai 400 orang penonton dalam satu-satu pementasan teater.Terletak berhampiran Sungai Melaka dan institusi-institusi pengajian tinggi serta pejabat-pejabat agensi kerajaan dan swasta, Panggung Bangsawan Melaka dilihat begitu gah dan amat strategik untuk menyokong industri pelancongan negeri dengan menjadi produk pelancongan terbaru yang memfokus kepada tarikan berupa seni persembahan berbentuk teater dan pengisahan yang semakin diminati ramai khususnya golongan muda sekaligus menjadikan Melaka sebagai sebuah kota perkembangan bidang kesenian khususnya teater dan persembahan muzik. Disamping dapat merancakkan dan menghidupkan kegiatan kesenian di Melaka, kewujudan Panggung Bangsawan Melaka diharapkan dapat menjadikan Melaka sebagai sebuah destinasi dan pelopor persembahan teater dan bangsawan sambil melahirkan lebih banyak penggiat seni budaya pada masa akan datang sekaligus menjadi tarikan kepada peminat-peminat seni persembahan teater yang datang dari dalam dan luar Negeri Melaka.

 

Sehubungan dengan itu, banyak pementasan-pementasan teater dan program-program telah dirancang pada setiap bulan oleh Perbadanan Ketua Menteri Melaka untuk menarik para penggiat dan peminat-peminat seni persembahan sebagai pengisian aktiviti berunsurkan kesenian di Panggung Bangsawan Melaka. Antara pementasan lain yang berjaya menarik ramai penonton adalah Baba Nyonya Cultural Night Show pada 26 dan 27 Februari 2016 dan Teater Muzikal Nostalgia P. Ramlee yang telah berlangsung pada 28 April 2016 yang lalu. Terkini, bagi anda yang menggemari pementasan teater jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan pementasan teater ’Igau 2016’ oleh para siswa-siswi UiTM Melaka Kampus Bandaraya yang akan dipentaskan pada 25 dan 26 Mei 2016 ini. Sila hubungi Perbadanan Ketua Menteri Melaka bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pementasan teater dan untuk mendapatkan tiket. Sekiranya anda berada di Panggung Bangsawan Melaka sambil menyaksikan teater atau apa-apa sahaja program kesenian, jangan lupa kongsikan gambar-gambar menarik anda ke instagram kerana kitakan #fabulousmelaka!

Panggung Bangsawan Melaka

Alamat            : 20, Jalan Munshi Abdullah,

                        Kampung Jawa, 75100 Melaka.

No. Telefon   : 06-234 6617