PENGKALAN BALAK YANG SEMAKIN POPULAR DI KALANGAN PELANCONG LUAR

Published
06/01/2016 by

Melaka sudah sememangnya terkenal dengan negeri yang bersih dan indah, rakyatnya yang ramah dan mudah mesra , makanan yang super awesome hinggakan ramai yang datang dari jauh semata-mata untuk menikmati masakan asam pedas, ikan bakar dan cendol. Orang kata dalam Malaysia, Melaka paling bersih yang mereka pernah lawati. Bangga sungguh menjadi sebahagian dari rakyat Melaka!

 

Jika diperhatikan tren kedatangan pelancong domestik yang semakin meningkat seperti yang diterangkan di dalam artikel sebelum ini, rata-rata pengunjung memilih kawasan pantai untuk berehat bersama keluarga. Walaupun Melaka tidak mempunyai pusat peranginan yang mewah seperti di tempat lain, namun pantai di Melaka juga mempunyai keistimewaan yang tiada tolok bandingnya. Pantai Klebang, Pantai Puteri, Pantai Tanjung Bidara, Pantai Kundor, Pantai Pengkalan Balak dan pantai di Pulau Besar mempunyai pasir yang bersih yang menjadi lokasi pengunjung untuk bersantai dan beriadah bersama rakan-rakan dan keluarga.

 

Kebelakangan ini, Pengkalan Balak, sebuah kawasan peranginan yang boleh dikategorikan sebagai underdog  ataupun kurang dikenali , kini telah mula mendapat perhatian pelancong. Pengkalan Balak, sebuah kawasan perkampungan nelayan merupakan kesinambungan daripada Pantai Tanjung Bidara dan terletak kira-kira 10km daripada Masjid Tanah di daerah Alor Gajah. Kawasan tarikan disekitarnya termasuklah Kompleks Falak Al-Khawarizmi dan Pusat Konservasi dan Penetasan Penyu Karah, Pantai Kamunting. Terdapat banyak chalet yang dibina berhampiran kawasan pantai dan kadar harga adalah lebih murah jika dibandingkan di tempat lain.

 

Pantai Pengkalan Balak mula mendapat perhatian para pelancong semenjak tahun 2014 apabila semakin ramai mula berkongsi momen dan  keindahan kawasan ini. Terima kasih kepada kaki blogger yang turut sama menyebarkan gambar-gambar serta informasi di facebook, instagram, twitter dan blog mengenai keunikan Pantai Pengkalan Balak. Mari kita lihat dua buah buah chalet atau resort di kawasan ini  yang kini viral di media sosial dan menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara.

 

The Fuga Village

Di sebalik dinding tinggi, sebuah resort yang dinamakan Fuga Village merupakan sebuah kawasan kediaman yang amat privasi. Ia merupakan sebuah resort kecil dengan bilik gaya rustik dan laman yang dijaga rapi dan mula beroperasi semenjak Februari 2015.  Mempunyai dua jenis bilik iaitu seunit The Villa dan 6 unit Chalet.  The Villa memuatkan 1 katil queen dan 2 katil bujang dengan tab mandi manakala Chalet pula hanya menempatkan katil queen. Semua bilik dilengkapi dengan pancuran terbuka.  Dipping pool  juga terdapat disini selain pelbagai aktiviti seperti bbq, bola tampar pantai, banana boat, badminton dan lain-lain lagi. Bermula dengan harga RM185 untuk Chalet dan RM365 untuk The Villa, anda boleh menempah  Fuga Village melalui website Airbnb, Booking.com atau menelefon terus ke kaunter tempahan.

 

Desa Damai Chalet

 

Chalet ini mula beroperasi semenjak 2014 mula menjadi viral pada pertengahan tahun 2015. Kini semakin ramai yang berkongsi foto di media sosial kerana keunikan binaan deretan kediamannya berkonsepkan rumah tradisional Melayu. Kekemasan susun atur bangunan dan keindahan tamannya menjadikan chalet ini mendapat perhatian ramai. Bermula dengan harga RM150, anda boleh membuat tempahan melalui panggilan telefon atau melalui website mereka.

 

Banyak lagi resort atau chalet yang super cool  yang kami akan kongsikan selepas ini di lain-lain kawasan pantai peranginan Melaka. Kalau anda berpeluang untuk bercuti di Pengkalan Balak, jangan lupa muatnaik gambar anda dan rakan-rakan serta keluarga di instagram dan hashtag #mymelakamoment. Kitakan @fabulousmelaka!