PERCUTIAN AGRO DI MELAKA TROPICAL FRUIT FARM

Published
07/27/2016 by

Kali ini kami ingin berkongsi sebuah lokasi menarik iaitu Melaka Tropical Fruit Farm (MTFF) yang berkonsep “farm stay” agro pelancongan yang menjadikan elemen-elemen pertanian seperti landskap , kolam pancing, taman herba, kebun sayur, dusun buah-buahan dan ladang ternakan sebagai produk pelancongan. Dengan keluasan sekitar 173 ekar,  MTFF mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan dari Bandar Melaka dan beroperasi pada setiap hari dari jam 9:00 pagi hingga 5:00 petang.

 

MTFF farm stay menawarkan penginapan di dalam dusun yang tenang dan damai jauh dari kesibukan kota. Selain dapat menikmati buah ketika musim buah-buahan, pengunjung juga melakukan pelbagai aktiviti. MTFF menyediakan pelbagai jenis penginapan yang boleh dipilih mengikut kesusaian. Pengunjung yang inginkan suasana privacy boleh memilih untuk menginap di salah sebuah daripada 9 chalet yang ada disini, manakala bagi pengunjung yang datang berkumpulan boleh menginap di asrama atau di khemah jika inginkan pengalaman yang lebih mencabar.

 

MTFF dipenuhi ratusan spesis pokok dan tumbuh-tumbuhan turut menyediakan pelbagai fasiliti untuk memberi peluang kepada pengunjung melihat dan mendekati alam semulajadi sambil memenuhi waktu percutian di Melaka dengan banyak aktiviti menarik dan beriadah bersama rakan-rakan dan family jauh dari kesibukan kota. Bagi para pengunjung yang datang melawat , menginap atau melakukan aktiviti team building di sini, pihak pengurusan MTFF telah menyediakan fasiliti yang lengkap bagi kemudahan mereka. Antara fasiliti-fasiliti yang disediakan di sini termasuklah chalet, asrama, ruang dan bilik mesyuarat, dewan makan, dewan serbaguna, surau, tapak perkhemahan, cafe, ladang buah-buahan, ladang haiwan ternakan, mini zoo, taman herba, fasiliti rekreasi dan banyak lagi. Pelbagai pakej telah disediakan oleh pihak pengurusan untuk pengunjung memilih mengikut kesesuaian mereka.

 

 

Di sini, guided-tour akan diberikan oleh staff berpengalaman. Anda akan dibawa melihat demonstrasi cara menoreh getah dan melihat dengan lebih dekat pokok serta buah getah. Pelbagai kegunaan pokok getah akan diterangkan oleh pemandu pelancong beserta informasi menarik mengenai kegunaan pokok-pokok yang terdapat di sana. Selain melihat demonstrasi menoreh getah, pengunjung juga boleh mencuba untuk membuat bunga daripada daun getah yang telah dikeringkan selain mencuba untuk membuat getah keping dengan menggunakan mesin penggelek. Bagi yang baru mengenal biji getah, pengunjung boleh mencuba untuk memecahkan biji getah untuk dijadikan permainan buah lastik oleh kanak-kanak pada zaman dulu. Biji getah tidak dipecahkan boleh dijadikan buah untuk bermain congkak. Jangan risau, staff disini sangat mesra pelancong dan sudi memberikan tunjuk ajar bagaimana untuk bermain congkak sekiranya anda tidak tahu bagaimana caranya!

 

Selesai bermain congkak, pengunjung akan dibawa melawat sekitar ladang dengan menaiki tram. Pengunjung juga boleh memilih untuk berjalan kaki atau menggunakan basikal yang boleh disewa di kaunter masuk. Begitu banyak pokok-pokok dan tanaman boleh dilihat di sini termasuklah sayur-sayuran, ulam-ulaman dan tumbuh-tumbuhan herba tropika. Pengunjung akan diperkenalkan dengan pelbagai pokok antaranya pokok kayu manis. Rupa bentuknya yang bergulung disebabkan ianya diambil daripada kulit kayu yang dijemur sehingga kering dan akhirnya akan terbentuk bergulung. Aromanya begitu wangi walaupun kulit kayu manis tersebut masih basah. Selain itu, terdapat juga pokok buah pala, pokok asam gelugor, pokok mentega dan bermacam-macam lagi.

 

Di sini, terdapat juga sawah padi, muzium pertanian, rumah cendawan, ladang buah naga dan kebun anggur untuk anda teroka dan pelajari. Selain tanaman dan tumbuh-tumbuhan, pengunjung juga akan dibawa ke kawasan penternakan atau mini zoo seperti lembu dari pelbagai jenis dan baka antaranya baka bali. Haiwan ternakan di sini semuanya begitu jinak dan pengunjung berpeluang untuk memberi mereka makan. Terdapat juga burung unta, rusa, kuda, unta dan banyak lagi. Pengunjung juga berpeluang melihat monyet-monyet liar di sini dan memberi makanan kepada mereka.

 

MTFF juga menyediakan banyak kemudahan sukan dan rekreasi termasuk basikal dan trek joging serta tasik untuk aktiviti berkayak dan memancing. Memang sesuai untuk aktiviti team building dan kem motivasi kerana kawasan ini amat luas dan sesuai untuk kumpulan yang besar.

 

Waktu yang dinanti di sini tentulah bila tibanya musim buah-buahan dimana pengunjung berpeluang untuk merasai sendiri serta menikmati buah-buahan tropika yang fresh seperti durian, duku, manggis, rambai, pulasan, langsat, dokong rambutan dan lain-lain. Terdapat beberapa pakej dan kemudahan yang ditawarkan untuk minimum 40 orang pelawat. Antaranya pakej fruit buffet, team building dan promosi bermusim. Setiap pakej ini menawarkan perlbagai aktiviti menarik kepada pelawat. Anda boleh hubungi pihak Melaka Tropical Fruit Farm untuk merancang program supaya lebih teratur dan menepati kehendak dan keperluan anda.

 

Terkini, Melaka Tropical Fruit Farm dan Tourism Melaka akan menganjurkan Durian Fest 2016 untuk kali yang ke-2 pada 29 hingga 31 Julai ini bermula jam 10 pagi hingga jam 7 malam. Kepada anda yang ’hantu durian’,  jangan lupa datang pada 30 Julai 2016 dan makan durian sepuasnya dengan harga RM30 sahaja. Berikutan sambutan yang begitu menggalakkan pada tahun lepas, Durian Fest 2016 kali ini, terdapat pelbagai aktiviti yang disusun menarik antaranya gerai jualan pelbagai jenis produk berasaskan durian, gerai jualan pelbagai jenis durian, jualan pelbagai jenis anak pokok durian, Pertandingan Teka Berat Raja Buah, Pertandingan Selfie atau Fotografi ”Syoknya Pesta Durian Melaka”, Sukaneka Durian – acara mewarna dan melukis Pesta Durian, Pertandingan Durian Paling Besauuu!, Program ”Jom Kacau Dodol Durian”, Pertandingan Memasak atau Manisan Berasaskan Durian dan Pertandingan Makan Durian Terbanyak.

 

Jadi, apa tunggu lagi? Jangan lepaskan peluang untuk sama-sama merasai kemeriahan Durian Fest 2016 kali ini. Jomlah datang dan serbu Durian Fest 2016 beramai-ramai sambil berekreasi bersama keluarga dan rakan-rakan. Jangan lupa untuk terus berkongsi gambar-gambar menarik anda kalau datang ke sini dalam instagram kami kerana kitakan #fabulousmelaka!

 

Melaka Tropical Fruit Farm

Alamat: Pusat Latihan Pertanian Sungai Udang, 76300 Sungai Udang, Melaka

Tel: 06-3516916/0130

www.melakatropical.com