TEROKAI KEUNIKAN ALOR GAJAH, BANDAR KAYA PRODUK PELANCONGAN

Published
09/21/2016 by

Kali ni kami nak kongsikan dengan anda apa yang menarik dan aktiviti yang anda boleh lakukan kalau anda nak meneroka kawasan luar dari Bandaraya Melaka. Mengikut mitos, nama Alor Gajah berasal daripada tabiat sekumpulan gajah liar yang kononnya diketuai oleh seekor gajah putih sering dilihat gemar berjalan secara berkumpulan menurut alur sebatang sungai yang terdapat di bandar ini sewaktu ketika dahulu. Oleh itu penduduk tempatan menamakan bandar ini sebagai Alor Gajah.

Mesti ramai yang nak tahu dan tertanya-tanya apa yang ada di sekitar Alor Gajah kan? Terdapat banyak destinasi pelancongan yang menarik boleh diteroka disini. Jom explore! Untuk minggu ini, kami senaraikan sebahagian destinasi yang boleh dilawati oleh pelancong.  

Sejarah & Budaya

  • Muzium Adat Istiadat
  • Makam Dol Said
  • Kubur British
  • Batu Megalith Datuk Tua
  • Dataran Keris, Alor Gajah
  • Masjid dari Tanah Liat di Masjid Tanah
  • Rumah Tradisional Melaka
  • Masjid Lama Datuk Machap
  • Makam Maharajalela
  • Perigi Bangkung
  • Kota Sempang (Kota Belanda)
  • Desa Paku
  • Rumah Api Tanjung Tuan
  • Kota Belanda, Fort Supai

 

Eko-Pelancongan

  • Pantai Tanjung Bidara
  • Pantai Pengkalan Balak
  • Pantai Tanjung Tuan
  • Pantai Padang Kamunting
  • Pantai Telok Gong
  • Eco Trail di Muara Sungai Linggi
  • Pulau Kenet
  • Perkampungan Orang Asli
  • Pusat Pengurusan Penyu Padang Kamunting
  • Dusky Leaf Monkey di Kampung Paya Lebar
  • Firefly Sanctuary
  • Bird Watching di Tanjung Tuan
  • Hutan Rekreasi Tanjung Tuan
  • Hutan Rekreasi Sungai Udang
  • Hutan Rekreasi Paya Laut, Kuala Linggi
  • Paya Bakau Kuala Linggi
  • Empangan Durian Tunggal

Rekreasi

  • A Famosa Resort
  • Dataran Alor Gajah
  • Kolam Air Panas Gadek
  • Kolam Air Panas Cherana Putih
  • Kompleks Falak Al-Khawarizmi
  • Pusat Perahu Layar, Pengkalan Balak

Beli Belah

  • Freeport A’Famosa Outlet Village
  • Gerai Kraftangan Simpang Ampat

Makan-makan

  • Mushroom Pau Machap Baru
  • Kuih Udang Alor Gajah
  • Machap Walk
  • Ikan Bakar Pengkalan Balak
  • Restoran Ikan Bakar Kuala Sungai Baru
  • Perusahaan Tapai Sarimah
  • Industri Air Long-Chan
  • Kuih Bakar

Sukan Off-Road

  • Kampung Teluk Belanga, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah
  • Litar Motocross Gadek, Alor Gajah
  • Litar Telok Gong, Masjid Tanah
  • Litar Kampung Kuala Sungai Baru
  • Kampung Kelemak, Alor Gajah
  • Kampung Ladang Baharu, Kuala Sungai Baru
  • Kampung Masjid Tanah

 

Agro

  • Ladang Kelulut Bukit Bulat
  • Melaka Tropical Fruit Farm

 

Homestay

  • Homestay Seri Tanjung
  • Homestay Ayer Limau
  • Homestay Kampung Paya Lebar
  • Homestay Kampung Melaka Pindah

 

Pendidikan

  • Kolej Universiti Islam Melaka, Kuala Sungai Baru
  • Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM), Lendu
  • Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Durian Tunggal
  • Kolej Matrikulasi Melaka, Londang
  • Kolej Universiti Agrosains Melaka, Ayer Pa’abas
  • Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Taboh Naning
  • Akademi Laut Malaysia Melaka (ALAM), Kuala Sungai Baru
  • Institut Skill Tech / Institut Pertanian, Durian tunggal
  • Adtec Technology Centre, Taboh Naning
  • Institut Teknologi Kejuruteraan Kimia Malaysia (MICET), Taboh Naning
  • Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Masjid Tanah
  • Kolej Komuniti Masjid Tanah
  • Kolej Kemahiran Tinggi MARA Masjid Tanah
  •  

 

 

Freeport A’Famosa Outlet Village

Pada 28 November 2015, Freeport A’famosa Outlet Village telah kepada orang ramai dan meliputi kira-kira 180,000 kaki persegi bagi fasa pertama.

Berkonsepkan pusat membeli belah secara terbuka, pastinya menjanjikan pengalaman mengujakan kepada pengunjung kerana selain membeli belah di lebih 100 kedai barangan berjenama, ianya pasti menggamit hati dengan konsep seni bina bertemakan warisan Belanda yang juga merupakan sebahagian daripada sejarah silam Melaka. Ia dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga jam 10 malam.

 

A’Famosa Resort

Tak tahu nak stay di mana? Senang je. Anda boleh bermalam di A’Famosa Resort yang terletak tak jauh dari salah satu pintu masuk ke daerah Alor Gajah iaitu melalui Persimpangan Plaza Tol Simpang Ampat. Namanya diambil sempena kota bersejarah A’Famosa, kubu peningggalan Portugis.

 

A’Famosa Resort ni merupakan salah satu all-inclusive resort popular yang terdapat di Daerah Alor Gajah dan turut menawarkan pelabagai kemudahan di bawah satu bumbung seperti rekreasi, hiburan, sukan, penginapan dan lain-lain perkhidmatan kepada pengunjungnya. Direka oleh pereka terkemuka Ross C.Watson, pelan resort ini telah dilakar dengan mengambil kira kelebihan pada rupa bentuk semulajadi yang terdapat pada tapak kawasannya. Inilah yang membuatkannya sangat unik, ditambah pula dengan tasik buatan, tumbuh-tumbuhan tropika dan juga landskap yang sangat cantik.

 

A’Famosa Resort menawarkan rangkaian kemudahan penginapan seperti hotel, kondotel dan banglo kepada anda. Resort ni juga dilengkapi padang golf 27 lubang turut menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti kolam memancing, restoran, dewan banquet, bilik seminar, karaoke, kedai-kedai cenderhati, kereta kuda, keretapi, basikal dan sebagainya untuk keselesaan para pengunjung. Antara tarikan lain yang menjadi tumpuan pengunjung ialah Water World, Animal Safari, Cowboy Town, Golf dan Kelab Micro Light yang memang best!

 

 

 

Kuih Cucur Udang Alor Gajah

Kata orang, kalau dah tiba di Bandar Alor Gajah tu, tak sah kalau tak pergi cari port makan kuih cucur udang yang terletak di Medan Selera Pasar Menggong, betul-betul di sebelah pasar Alor Gajah dan berdekatan dengan Alor Gajah Sentral. Singgahlah di kedai tersebut dan nikmati cucur udang dan kuahnya yang sangat sedap! Perkara pertama yang kami nak ingatkan anda, di sini para pelanggan memang dah biasa kena beratur panjang berkilometer untuk beli kuih udang ni.Jadi, anda kenalah sabar beratur ye kalau nak makan kuih udang yang sedap ni.

Jangan lupa untuk mencuba popiah basah yang anda boleh makan dan nikmati bersama kuih cucur udang. Selain kuih cucur udang, kalau anda singgah makan di sini, anda boleh juga order pelbagai jenis satay dan pilihan makanan seperti nasi ayam, mee rebus dan mee kari yang sedap.

 

Muzium Adat Istiadat

Muzium Adat Istiadat terletak di Dataran Alor Gajah, bersebelahan Tugu Keris Majlis Perbandaran Alor Gajah. Bangunannya mempamerkan senibina rumah tradisional Melayu yang menjadi identiti dan menepati fungsinya sebagai muzium yang memfokus pada sejarah awal pembentukan Daerah Alor Gajah termasuklah paparan gambar tokoh-tokoh daerah. Muzium ini juga mengenenengahkan pelbagai perkara mengenai adat istiadat khususnya adat perkahwinan supaya tak hilang ditelan zaman dan informasi adat resam serta budaya masyarakat berbilang kaum yang ada di Melaka.

Bahan pamerannya sangat cool dan menarik termasuklah pelamin, alat perhiasan diri, porselin dan peralatan-peralatan yang penting dalam adat istiadat. Muzium ini telah dibuka pada 19 Oktober 1990 dan bangunannya dahulu di bawah pengawasan Majlis Daerah Alor Gajah sebelum diambil alih oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) untuk dijadikan muzium daerah. Muzium ini dibuka pada setiap hari kecuali pada Hari Isnin dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang dengan bayaran tiket sebanyak RM1 bagi dewasa dan RM0.50 sen untuk kanak-kanak.

 

Rumah Warisan Encik Hashim Tahar

Tak jauh dari Air Panas Gadek, anda boleh pergi melawat ke rumah tradisional yang terletak di Kampung Padang Sebang menghala ke Pekan Tampin. Rumah ni terletak di atas tanah berkeluasan 2 ekar. Menurut pemilik rumah iaitu Tuan Hj. Hashim Tahar, rumah ini diwarisi kepada beliau oleh ibunya. Menurut anggaran beliau, rumah tradisional ini telah berusia lebih 100 tahun. Rumah ni menggunakan sistem selak dan tanggam yang mana tak ada sebarang paku digunakan semasa pembinaannya.

 

Terdapat pelbagai ukiran yang diperlihatkan pada rumah tradisional ini dan motif utama ukirannya adalah berasaskan flora dan ukiran ikan pada hujung atau tulang bumbung rumah. Senibina rumah tradisional ini banyak dipengaruhi oleh kebudayaan Cina, Portugis dan Minang. Anda boleh datang dan singgah untuk ambil gambar dan kalau kebetulan ketika itu pemiliknya ada di rumah, anda boleh minta kebenaran untuk masuk dan lihat sendiri keunikan binaan rumah bersejarah tersebut.

 

Makam Dol Said

Berdekatan dengan A’Famosa Resort, anda boleh juga singgah ke Makam Dato’ Dol Said. Dato’ Abdul Said bin Omar, atau Dol Said (1773 - 1849), ialah Penghulu Naning yang ke-9. Beliau membantah pengenaan cukai ke atas daerahnya oleh British dan ini menyebabkan tercetusnya Perang Naning pada 1831. Beliau menggunakan kebijaksanaannya dan dengan bantuan daripada perikatan Melayu yang lain, termasuk Seri Menanti, Sungai Ujong, Johol dan Muar, beliau telah dapat mengalahkan pihak British dalam serangan pertamanya.

 

Dalam serangan kedua, Naning tidak berjaya mendapat bantuan daripada jiran-jirannya malah Yam Tuan Muda Raja Ali di Rembau membantu pihak British dengan menghantar 600 orang bagi mengukuhkan tentera mereka. Dol Said terpaksa berundur ke Sri Menanti dan seterusnya menyerah kalah, sekali gus mengakhiri perang tersebut. British menggabungkan Melaka dan Naning dan Dol Said diberikan tempat tinggal di Melaka dan meninggal dunia pada 1849. Beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Taboh Naning bersebelahan Masjid Dato’ Dol Said, Taboh Naning.

 

 

 

Batu Megalith Datuk Tua

Batu Megalith ni dipercayai merupakan kubur nenek moyang penduduk asal yang menetap di Daerah Alor Gajah. Terdapat hampir seratus kawasan pusara purba di sini yang dikenali sebagai Megalith Datuk Tua. Salah satu kawasan purba yang telah dikenalpasti ialah di Kampung Cherana Putih, Simpang Ampat. Ada yang bersaiz kecil, sederhana dan ada juga yang besar dan tinggi sangat! Batu-batu purba ni saiznya akan bertambah besar dari semasa ke semasa dan sesetengahnya ada terdapat kesan corak ukiran kuno yang tak diketahui maknanya.

 

Pantai Tanjung Bidara

Pantai cantik yang terletak tak jauh dari bandar Masjid Tanah Kem Terendak ni merupakan antara pantai perkelahan yang popular di Melaka. Keadaan fizikal pantai yang landai dengan pasir putih mulus serta angin sepoi-sepoi bahasa ini merupakan persaing utama pantai Port Dickson yang terletak lebih kurang 70 km dari Masjid Tanah. Pantai kegemaran ramai ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tempat parking kereta, playground kanak-kanak, surau, medan selera, tandas awam dan bilik mandi untuk keselesaan para pengunjungnya. Pemandangan sunset di sini memang betul-betul cantik!

 

Pusat Pengurusan Penyu Pantai Padang Kemunting

Terdapat juga tarikan lain di Tanjung Bidara seperti Pusat Pengurusan Penyu yang terletak di Kampung Padang Kemunting yang dibuka pada tahun 1990 yang menyediakan pantai tempat penetasan penyu khususnya penyu Karah yang bertelur pada bulan Mac hingga September. Kalau anda datang pada ketika ini, anda berpeluang melihat sendiri penyu Karah bertelur dan mempelajari serta meneroka khazanah penyu di bilik pameran yang disediakan.

 

Pusat ni dilengkapi pagar dan sentiasa diselenggarakan dengan baik oleh Jabatan Perikanan Malaysia dan WWF Malaysia. Pusat penetasan ini adalah salah satu daripada usaha-usaha yang dijalankan pihak berkuasa untuk menyelamatkan dan melindungi penyu daripada pupus dan sering menerima kunjungan para pelancong untuk melihat pelbagai spesis penyu terlindung terutamanya penyu Karah. Singgahlah ke sini bersama family dan anak-anak. Pusat ni dibuka pada setiap hari Selasa hingga Ahad kecuali cuti umum dan lawatan anda ke sini adalah percuma je!

Kompleks Falak Al-khawarizmi

Kompleks Falak Al-khawarizmi ni merupakan salah satu kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Melaka bagi mengkaji dan meneroka pertumbuhan dan misteri alam semesta. Terdapat tiga bangunan utama di dalam Kompleks, yang merupakan balai pemerhatian, Planetarium dan Pusat Latihan yang membolehkan orang ramai berpeluang untuk belajar dan menghayati ilmu astronomi secara mendalam. Kompleks ini dibuka pada setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dengan tiket masuk sebanyak RM 1 bagi dewasa dan kanak-kanak.

 

Jadi, kalau anda ada merancang nak jalan-jalan di sekitar Alor Gajah tu, jangan lupa try tempat-tempat yang kami recommend ni. Jangan lupa juga untuk sama-sama share gambar-gambar menarik anda kalau jalan-jalan di sekitar Alor Gajah ke instagram kami kerana kitakan #fabulousmelaka!