TIPS ELAK KECURIAN DAN KEHILANGAN BARANG PENTING KETIKA BERCUTI

Published
06/01/2016 by

Isu keselamatan pelancong di dalam industri pelancongan adalah aspek kritikal yang perlu diberi perhatian serius bagi memastikan sesuatu destinasi pelancongan terus kekal menjadi pilihan pelancong. Ia bukan sahaja tertumpu kepada kejadian jenayah semata-mata tetapi merangkumi aspek yang lebih luas. Aktiviti pelancongan yang sepatutnya menyeronokkan dan pergerakan para pelancong yang semakin kerap ke pelbagai destinasi serata dunia disamping kebanjiran bilangan pelancong di destinasi-destinasi pelancongan popular, mereka kerap menjadi sasaran pickpocket  atau penyeluk saku dan kehilangan barang penting walhal risiko kes-kes seperti ini boleh dikurangkan atau dihindarkan.Tiada yang lebih menyusahkan pelancong ketika melancong selain daripada kehilangan wang dan barang-barang penting.

 

Mood untuk berliburan dan percutian yang diharapkan berjalan lancar akan terjejas sekiranya faktor keselamatan dan perasaan selamat ketika berada di sesuatu destinasi pelancongan tidak dijaga dan tidak langsung dipedulikan oleh pihak yang bertanggungjawab. Benar, tiada 100% tempat yang benar-benar selamat dan setiap negara mempunyai kes jenayah masing-masing, yang membezakan hanyalah sama ada tinggi atau rendah kadar jenayah tempat tersebut.

Bagi memastikan sasaran kehadiran pelancong pada tahun ini mencapai sebanyak 16.5 juta pelancong,  Kerajaan Negeri Melaka sentiasa komited dalam memastikan pelancong yang tiba di Melaka berasa selamat dan yakin untuk bebas bergerak kemana-mana yang mereka mahu tanpa rasa ragu-ragu atau perlu memikirkan soal keselamatan diri. Kes ragut dan penyeluk saku di kawasan laluan gelap dan sunyi seringkali dialami oleh pelancong kini semakin berkurang dengan kecekapan Polis Pelancong di Melaka.  Kehadiran Polis Pelancong yang bertugas dan melakukan rondaan secara kerap di kawasan-kawasan pelancongan dan ditambah pula sikap mereka yang ramah dan mesra pelancong menjadikan pelancong berasa selesa dan selamat ketika berada di Melaka. Berpandukan cogan kata 'Cepat dan Betul', Polis Pelancong sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik dan sentiasa cekap dalam menyelesaikan hal-hal jenayah, kecuaian, kemalangan dan lain-lain yang berkaitan.  

 

Dalam keseronokan untuk melancong, pelancong itu sendiri perlulah mengambil langkah-langkah keselamatan untuk diri sendiri dan juga keluarga. Kami kongsikan tips keselamatan  bagi mengurangkan risiko diragut atau kehilangan barang penting semasa bercuti.

1. Pastikan anda mengunci pintu bilik hotel samada semasa berada di dalam bilik mahupun ketika hendak keluar

Ini dapat memastikan diri, keluarga dan barangan berharga tidak terdedah kepada pencuri

 

2. Jangan simpan wang atau dompet di saku yang terbuka.

Seelok-eloknya simpanlah dompet dan wang anda di tempat tersorok yang tidak dapat dilihat dengan mudah oleh penyeluk saku. Penggunaan Moneybelt atau tshirt yang berkocek dan berzip di dada adalah salah satu cara terbaik.

 

3. Jangan bawa dan memakai barang-barang yang berharga seperti emas semasa melancong

Elakkan memakai terlalu banyak barang kemas yang menjadi tontonan sehingga mendedahkan diri anda kepada jenayah ragut

 

4. Jangan simpan barang-barang berharga di dalam almari bilik hotel termasuklah passport anda

Seringkali pelancong menyimpan pasport dan barang bernilai tinggi  di dalam bilik.  Seeloknya  bawalah passport bersama-sama anda dan simpan barangan berharga dalam peti keselamatan sekiranya disediakan oleh pihak hotel.

 

5. Elakkan daripada berebut-rebut menaiki kenderaan awam atau berada di tempat sesak.

Risiko untuk jenayah penyeluk saku dan kecurian semakin tinggi di tempat-tempat yang sesak dan dipenuhi orang ramai. Elakkan berhimpit-himpit dan pastikan diri anda mempunyai ruang dengan orang lain.

 

6. Jangan membawa beg tangan dengan cara yang mudah diragut.

Bawalah beg tangan dengan cara menyelempangkan secara bersilang supaya tidak memudahkan anda menjadi mangsa ragut

 

7.  Semak, semak dan semak kerusi anda sebelum beredar

Pastikan berulang kali yang anda tidak tertinggal duit, dompet dan barang-barang penting sebelum meninggalkan restoran, hotel, bas, teksi, kapalterbang dan sebagainya

 

8. Berhati-hati menjawab panggilan telefon / sms sehingga lupa keadaan sekitar.

Pastikan anda berhati-hati ketika menjawab panggilan telefon supaya tidak terlihat anda sedang leka oleh pencuri dan peragut

 

9. Semasa tidur, pastikan handphone anda berada di sisi atau pastikan juga Cordless Phone anda berada di sisi anda ataupun sambungkan satu extension dalam kamar tidur anda.

Ini memudahkan anda membuat panggilan kecemasan sekiranya anda terasa kehadiran pencuri atau perompak.

 

10. Simpan senarai nombor telefon kecemasan seperti polis, bomba, 991 atau sebagainya. Pastikan nombor-nombor ini disimpan dalam handphone anda. Kalau boleh, hafalkan nombor tersebut.

Ini memudahkan anda membuat panggilan telefon dan mendapatkan bantuan ketika kecemasan.

 

Sebagai warganegara Malaysia dan rakyat Melaka, sama-samalah kita bekerjasama dengan anggota keselamatan untuk sama-sama ingat-mengingati pelancong yang tiba di Melaka untuk menjaga keselamatan diri mereka dan barang-barang peribadi bagi mengurangkan kes ragut dan penyeluk saku. Jom jadi rakyat yang bertanggungjawab dan bantulah mempromosikan Melaka kepada dunia dengan jaminan safety and security kepada para pelancong kerana kita sama-sama mahukan Melaka menjadi sebuah destinasi pelancongan yang mapan, selamat dan terbaik di rantau ini kerana kitakan #fabulousmelaka!